Pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di Sungai Ara mendakwa mengalami pendarahan pada mata kanan akibat dirotan guru hari ini.

BAYAN BARU – “Saya tahu anak saya buas (nakal) tapi bukan begini cara untuk memberi pengajaran dan nasib baik dia tak buta”.

Demikian luah Mazni Mohamad, 47, bapa kepada seorang pelajar tingkatan lima yang mengalami pendarahan pada mata kanan didakwa akibat dirotan guru sebuah sekolah menengah di Sungai Ara di sini hari ini.

Jelasnya, anak lelakinya itu ditangkap ketika menghisap rokok elektronik dalam kelas ketika guru sedang mengajar subjek Sains kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Mazni.

“Susulan itu, anak saya dibawa kepada seorang ustaz yang dikatakan pembantu guru disiplin untuk tindakan lanjut.

“Anak saya disoal siasat sebelum guru disiplin berkenaan mendakwa dia menipu dan bertindak merotannya.

“Bagaimanapun, rotan tersebut terkena pada bahagian mata kanan sekali gus menyebabkan dia mengalami pendarahan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Menurut pemandu lori itu, anak ketiganya itu  mengadu kesakitan sebelum mendapati tangannya mempunyai kesan darah.

Mangsa masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

“Susulan itu, guru berkenaan sedar tindakannya mengakibatkan kecederaan pada anak saya sebelum pihak sekolah membawanya ke klinik serta Hospital Balik Pulau untuk rawatan susulan.

“Saya difahamkan, mereka terpaksa rujuk anak saya ke Hospital Pulau Pinang susulan tiada pakar mata di Hospital Balik Pulau.

“Buat masa ini, keadaan anak saya stabil namun memerlukan pemantauan selama lima hari sebelum doktor memutuskan rawatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, satu laporan polis berhubung kejadian akan dibuat selain beliau dan isteri akan berjumpa dengan pihak sekolah untuk maklumat lanjut esok. – MalaysiaGazette