Pegawai perubatan mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan amang seksual pada April lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang penolong pegawai perubatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas anak  seorang remaja perempuan, April lalu.

Tertuduh yang berusia 31 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki terbabit didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual dengan menyuruh anak saudara perempuannya yang berusia 14 tahun menjilat kemaluan tertuduh di Pangsapuri Seri Murni, kuaters HSA pada jam 1.20 pagi, 20 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memeluk, meraba dan memasukkan kemaluan tertuduh dalam kemaluan remaja berkenaan pada waktu dan tempat yang sama.

Bagi dua perbuatan terbabit, bapa tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) yang masing-masing membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan perbuatan itu di bawah kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan jumlah jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin.

Beliau turut mencadangkan tiga syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu saksi dan mangsa sehingga kes selesai, lapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sekiranya ada.

Tertuduh yang diwakili peguam Abd Rahim Ali bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan dia diikat jamin dengan jumlah yang mampu memandangkan hanya dia seorang yang bekerja kerana isterinya seorang suri rumah dan menanggung tiga anak berusia 5 bulan, tiga dan enam tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta tiga syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 22 November depan. – MalaysiaGazette