Meenakshi.

GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri melarang perlombongan termasuk unsur nadir bumi (REE) di kawasan sensitif alam sekitar (ESA) seperti di hutan simpanan kekal.

Gesaan itu disuarakan Presiden SAM, Meenakshi Raman sebagai tindak balas kepada dasar baharu kerajaan bagi mengharamkan eksport REE dalam melindungi rantaian nilai sumber untuk membina industri pertengahan dan hiliran.

Jelas beliau, larangan eksport itu adalah baik kerana ia mengelakkan tekanan ke atas kawasan sensitif alam sekitar, lanjutan daripada dorongan peningkatan permintaan global.

Tegas beliau, meskipun logik pengharaman eksport sedemikian demi kepentingan domestik, SAM tidak menyokong perlombongan unsur nadir bumi walaupun bagi kegunaan negara terutama apabila kebanyakan sumber itu terletak di kawasan ESA termasuk dalam hutan simpanan kekal dan ekosistem kepelbagaian biologi.

“Sememangnya terdapat keperluan bagi kerajaan bersikap telus sepenuhnya di mana sumber unsur nadir bumi berada dan mengenakan larangan ke atas aktiviti perlombongan di kawasan ESA.

“Bercakap saja mengenai perlombongan secara mampan tidak cukup kerana kawasan ESA mengikut definisi dan ia mestilah dilindungi sepenuhnya.

“Membenarkan perlombongan unsur nadir bumi dalam kawasan ESA bukan sahaja menyebabkan kesan alam sekitar dan sosial yang teruk malah bertentangan dengan dasar iklim dan biodiversiti sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Meenakshi, perlombongan unsur nadir bumi dalam hutan simpan adalah bercanggah dengan Akta Perhutanan Negara 1984 dan objektif Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan.

Katanya, kedua-dua cara perlombongan terbuka konvensional dan perlombongan larut resap setempat atau in-situ memberikan kesan alam sekitar dan kesihatan sosial yang serius terutama jika ia terletak di kawasan ESA atau membabitkan hak tanah adat orang asal dan orang asli.

Tegasnya, istilah ‘unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE)’ yang digunakan di Malaysia boleh mengelirukan kerana menurut Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA), bagi menghasilkan 1 tan unsur nadir bumi akan menjana 2,000 tan sisa toksik, termasuk 75 meter padu air sisa dan 1 tan sisa radioaktif.

“Walaupun benar bahawa tiada pengganti langsung bagi unsur nadir bumi, terdapat cara untuk menghasilkan ‘super magnet’ bebas nadir bumi atau inovasi yang boleh menggantikan motor dan penjana magnet kekal yang tidak memerlukan mineral nadir bumi dan pasaran sudah mula beralih kepada alternatif.

“Penggunaan motor elektrik bukan nadir bumi dijangka meningkat lapan kali ganda menjelang 2030 dan alternatif berdaya maju memang wujud bagi menggantikan magnet kekal yang digunakan secara meluas dalam reka bentuk turbin angin dan kenderaan elektrik malah beberapa pengeluar utama sudah melabur dalam hal ini.

“Malaysia juga perlu melabur dalam alternatif kepada penggunaan unsur nadir bumi dan mengambil langkah lebih jauh, bukannya mempromosikan unsur nadir bumi. Pasaran sudah mula beralih kepada alternatif dan ia adalah trend masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette