Tuan Ibrahim Tuan Man. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mengalu-alukan Ahli Parlimen kerajaan yang tidak puas hati dengan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyertai gabungan tersebut.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia merupakan prinsip keadilan dan soal Ahli Parlimen mahu berpihak kepada sama mana-mana pihak adalah hak masing-masing.

“Bukan makna bila kita duduk dalam kerajaan kita tidak boleh kemukakan ketegasan kita. Ada Ahli Parlimen kerajaan pun lantang menyuarakan pandangan masing-masing,” katanya kepada media di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Tuan Ibrahim menjawab pertanyaan media mengenai tindakan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan, Ahad lalu.

Tuan Ibrahim menafikan terdapat tawaran tertentu diberikan kepada Ahli parlimen yang mengambil langkah sedemikian,

“Buat masa ini dia bebas, kita tidak tawarkan apa-apa, kita terbuka dan kita daripada PN alukan mana pihak yang nak bersama dengan PN,” ujarnya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, isu 3R (agama, raja dan bangsa) tidak mempunyai akta yang boleh dikaitkan dengannya dan sekiranya peraturan mahu diwujudkan ia perlu jelas.

“Sebab itu Abdul Hadi sebut dia rela ke penjara sebba peraturan tidak ada.

“Takkan bila kita cakap pasal (3R) tiba-tiba polis mari siasat kerana cakap pasal 3R, bawah akta dan peraturan mana sebab itu Ketua Pembangkang cakap kata-kata Perdana Menteri itu jadi undang-undang.

“Negara kita bukan macam itu, ada prosedur itu, bukan pemimpin itu arah terus dilaksanakan tidak boleh,” ujarnya.

Ahli Parlimen Marang itu kini disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Malah menurutnya, tidak salah beliau yang merupakan seorang Melayu dan Islam untuk bercakap mengenai agama dan bangsa kerana ia adalah teras dalam perbentukan negara Malaysia.

“Saya seorang Melayu takkan saya tidak boleh bercakap tentang bangsa saya. Saya seorang Islam, takkan tak boleh bercakap tentang agama saya. Kalau kita Islam tak boleh bercakap tentang Islam, siapa nak bercakap tentang Islam.

“Setiap orang ada hak dan kerajaan perlu perincikan, kalau nak buat peraturan mesti bawa ke Parlimen. Tentang Raja-raja takkan tak boleh bercakap, berpuluh tahun kita bercakap soal Raja-raja Melayu dan Islam bahkan tiga parti utama UMNO, MIC dan MCA adalah parti dibina atas bangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. YA ALLAH KAU HANCURKAN GOLONGAN DAN PEMIMPIN2 MUNAFIKUN PENYAKAU PENYAMUN PERASUAH SERTA BERSUBAHAT ZAHID HAMIDI ANWAR IBRAHIN DAN SEKUTUNYA

    YAKINLAN GOLONGAN MUNAFIK AKAN TERIMA BALASAN DUNIA AKHIRAT DAN NERAKA JAHANAM

Comments are closed.