Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto QURRATU AINI,13 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Desas-desus kononnya beberapa ahli dan pemimpin akan dipecat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak berlaku malam tadi.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki perkara tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, isu yang dibangkitkan oleh Ahli MKT UMNO Isham Jalil juga tidak disentuh dalam mesyuarat berkenaan.

“Isu apa yang dibangkitkan? Dia (Isham) pun tidak datang, dia pun tidak bangkitkan apa-apa,” kata Asyraf Wajdi dalam sidang media selepas mesyuarat tamat.

Isham sebelum ini mendakwa beliau dan beberapa pemimpin akan dipecat.

Isham turut membangkitkan isu perlunya UMNO bergerak secara solo dalam pilihan raya serta menyatakan dasar perjuangan parti itu yang berbeza dengan DAP.

Menurut Asyraf Wajdi, isu yang dibangkitkan Isham sudah tidak relevan kerana parti telah memutuskan untuk mengadakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan telah dibuat 23 Novermber tahun lalu.

Keputusan tersebut juga telah diabsahkan dalam Perhimpunan Agung UMNO dan keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan pada awalnya atas titah Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau ingat lagi pada malam tersebut kita bermesyuarat hampir empat jam lebih habis pukul 1.38 pagi.

“Kalau kita hanya sekadar membincangkan titah Yang di-Pertuan Agong mengikut perlembangaan parti kita memang kena patuh kerana kita parti yang mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, kesemua 56 ahli MKT UMNO bersetuju untuk mengadakan kerajasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, status keahlian Datuk Muhammad Jailani Khamis diserahkan kepada Lembaga Disiplin UMNO.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembi itu sebelum ini dipanggil untuk mengadap Lembaga Disiplin UMNO susulan kehadiran beliau ke program kempen Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil di Johor baru-baru ini.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast