KUALA LUMPUR – Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan 3 hingga 9 September 2023 sebanyak 2,284 kes berbanding 1,924 kes pada minggu sebelumnya naik 360 kes (18.7%) dengan dua kes kematian.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan pada tempoh itu sebanyak 82,485 kes berbanding 39,188 kes bagi tempoh sama tahun 2022, bertambah 43,297 (110.5%).
Manakala sejumlah 59 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 24 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2022.
Bilangan lokaliti hotspot pada minggu ini menurun sebanyak 17 lokaliti menjadikan sebanyak 66 lokaliti hotspot dilaporkan berbanding 83 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.
Dari 66 lokaliti yang dilaporkan, 47 lokaliti di Selangor, 13 lokaliti di Kuala Lumpur & Putrajaya, tiga lokaliti di Kelantan dan masing-masing satu lokaliti di Pulau Pinang, Perak dan Sabah.
Menurutnya, bagi survelan chikungunya, tiga kes telah direkodkan pada minggu tersebut.
Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 166 kes.
Tambahnya, sejumlah 2,266 sampel darah zika dan 196 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.
Dr Muhammad Radzi berkata, Malaysia sedang berada dalam fasa akhir monsun barat daya dan memasuki fasa peralihan monsun dalam bulan September dan dijangkakan cuaca panas pada siang hari
dengan hujan pada petang hari.
“Oleh itu, pastikan tiada bekas yang menakung air terutamanya di luar rumah. Buang barang lusuh yang tidak digunakan. Tutup rapat bekas penyimpanan air serta kerap membersihkan
bekas minuman haiwan peliharaan dan alas pasu di luar rumah.
“Amalkan tabiat membuang sampah di tempat yang telah ditentukan. Lakukan aktiviti Cari dan Musnah sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu bagi
memastikan kawasan rumah bebas dari tempat pembiakan aedes,” ujarnya. – MalaysiaGazette