Penunggang motosikal maut digilis sebuah kereta di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Seorang penunggang motosikal maut digilis kereta dalam kejadian di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Batu Uban di sini, malam tadi.

Kejadian jam 10.45 malam itu mengakibatkan C. Vijay, 40, maut di lokasi kejadian susulan mengalami kecederaan parah pada kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan menghala ke pusat bandar dikatakan hilang kawalan sebelum masuk laluan bertentangan.

“Bagaimanapun, kereta jenis Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 32 tahun menghala Bayan Lepas yang melalui kawasan itu gagal mengelak lalu melanggar mangsa.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hopsital Pulau Pinang dan proses bedah siasat akan dilakukan selepas pihak hospital mendapat keputusan saringan Covid-19,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette