Dr. Nur Azlina
Dr. Nur Azlina Mohd Fahami (depan)

KUALA LUMPUR – Kajian terkini mendapati madu kelulut berpotensi merawat ulser perut serta mengurangkan rasa pedih gastrik.

Menurut pensyarah dari Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Nur Azlina Mohd Fahami, kesan protektif ini adalah disebabkan kehadiran asid fenolik iaitu sejenis bahan antioksidan mudah serap dalam madu kelulut.

Kandungan antioksidan asid fenolik ini adalah jauh lebih tinggi berbanding madu tempatan atau kebanyakan madu import. Bahan ini mampu mengurangkan asid perut serta keradangan perut dan melegakan kesakitan akibat ulser perut.

Menurut beliau, ulser perut yang paling biasa disebabkan oleh penggunaan berlebihan ubat penahan sakit, seperti aspirin (Bayer), dan ubat anti-radang (NSAIDs), seperti ibuprofen (Advil, Motrin) atau naproxen (Naprosyn).

Bahkan, ulser perut sering dirawat dengan antibiotik dan ubat untuk mengurangkan dan menyekat asid perut, bergantung kepada penyebab ulser.

“Berdasarkan kajian kami, madu sesuai digunakan untuk menghalang sakit perut serta pembentukan ulser perut akibat pengambilan ubat tahan sakit. Kajian telah menujukkan pengunaan madu kelulut
mampu merawat gastritis dan ulser perut yang ringan.

“Selagi anda mempunyai paras gula dalam darah yang normal, madu boleh dinikmati seperti mana-mana pemanis, dengan bonus mungkin melegakan ulser anda.,” katanya.

Tambahnya, salah satu keistimewaan madu kelulut Malaysia adalah kandungan gula semula jadi yang dikenali sebagai trehalulose sebanyak 84 peratus dari kandungan gula madu tersebut.

Kandungan trehalulose yang tinggi ini membantu pengguna menjaga nilai indeks glisemik yang rendah (GI) yang dapat diserap secara perlahan ke dalam aliran darah kita selain menghalang daripada meningkatkan mendadak tahap gula dalam darah.

Tambah beliau, rawatan menggunakan bahan semula jadi seperti madu kelulut mempunyai potensi dan perlu diterokai kerana ia bukan sahaja mudah diperolehi bahkan tidak mempunyai kesan sampingan yang boleh memudaratkan.

Mmadu kelulut boleh diambil terus secara oral sebanyak satu atau dua sudu besar setiap hari atau boleh juga dicampurkan dengan air sebelum diminum.

Dr. Nur Azlina berkata, madu kelulut bukan sahaja berkhasiat dan bermanfaat terhadap kesihatan, malah ia adalah produk agro yang berpotensi untuk dikembangkan memandangkan permintaannya yang tinggi.

“Lebah kelulut yang merupakan spesies lebah tidak berbisa menjadi sebutan sejak projek besar-besaran berkenaan penternakan kelulut dilancarkan pada tahun 2012 oleh Institut Penyelidikan dan Kamajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan dalam Pelan Pembangunan Industri Kelulut Negara 2020-2030.

“Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengiktiraf madu kelulut sebagai 'superfood' pertama di Malaysia,” katanya.

Kumpulan penyelidikan dari Jabatan Farmakologi UKM telah berjaya mendapat geran dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk dana penyelidikan berkaitan madu kelulut.

Menurut beliau, meskipun ujian klinikal madu kelulut masih dalam peringkat awal, khasiat madu kelulut sebagai sebagai ‘home remidies’ untuk melegakan ulser perut diakui di seluruh dunia. MalaysiaGazette