Orang ramai yang berkunjung ke Pulau Langkawi sempena pembukaan semula pulau peranginan tersebut tidak melepas peluang untuk melakukan aktiviti riadah di Pantai Chenang, Pulau Langkawi, Kedah. Foto Arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Pelancongan domestik di Malaysia mengalami lonjakan yang ketara, dengan merekodkan 54.5 juta pelawat domestik bagi suku kedua 2023, meningkat 20.0 peratus berbanding suku tahun yang sama pada tahun sebelumnya.

Bagi perbandingan suku tahun, pelawat domestik meningkat 12.2 peratus berbanding suku pertama 2023.

Manakala perbelanjaan pelancongan domestik bagi suku kedua 2023 merekodkan RM21.9 bilion, meningkat 23.9 peratus tahun ke tahun, dan perbandingan suku tahun meningkat 13.9 peratus.

Bagi tahun 2022, jumlah perbelanjaan pelancongan merekodkan RM64.1 bilion menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, secara keseluruhannya, prestasi pelancongan domestik Malaysia pada tahun 2022 mencatatkan pertumbuhan yang positif.

Ketibaan pelawat domestik merekodkan 171.6 juta pelawat berbanding 66.0 juta pelawat pada tahun sebelumnya, meningkat 160.1 peratus.

Terimaan pelancongan domestik meningkat 248.1 peratus merekodkan RM64.1 bilion (2021: RM18.4 bilion), pertumbuhan positif selepas penularan pandemik Covid-19.

Jika dibandingkan dengan tahun 2019 (sebelum pandemik Covid-19), jumlah pelawat domestik menurun sebanyak 28.2 peratus.

Perbelanjaan juga turut susut 37.9 peratus berbanding tahun 2019.

Selari dengan prestasi pelancongan domestik Malaysia, semua negeri merekodkan peningkatan dari segi volum dan jumlah terimaan selepas pandemik Covid-19.

Pada tahun 2022, Selangor merekodkan terimaan pelancong domestik tertinggi dengan RM8.73 bilion, meningkat 176.5 peratus berbanding 2021 (RM3.16 bilion). Ini diikuti oleh Kuala Lumpur yang menerima RM7.73 bilion (2021: RM3.08 bilion), Sarawak (2022: RM5.43 bilion; 2021: RM1.94 bilion) dan Pahang (2022: RM5.32 bilion; 2021: RM0.91 bilion).

Membeli-belah merupakan komponen terbesar daripada jumlah terimaan (RM24.94 bilion) bagi semua negeri, yang mana Selangor mendominasi dengan
RM3.85 bilion, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM3.71 bilion) dan Sarawak (RM2.33 bilion).

Komponen kedua tertinggi ialah makanan & minuman (bagi sepuluh negeri), diikuti pembelian bahan api kenderaan (bagi lima negeri) dan
pengangkutan (bagi Labuan).

Penerangan lanjut berkaitan tujuan utama perjalanan bermalam domestik, melawat saudara & rakan-rakan adalah tujuan utama perjalanan bermalam domestik untuk semua negeri kecuali Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Labuan. Percutian/ riadah/ rehat adalah tujuan utama pelancong domestik melancong untuk kedua-dua negeri tersebut.

Sementara itu, purata bilangan hari menginap (ALOS) adalah 2.55 malam, meningkat 16.6 peratus berbanding 2.19 malam pada 2021. Negeri yang mencatatkan ALOS melebihi peringkat nasional ialah Wilayah Persekutuan Labuan (3.67 malam), Sarawak (3.52 malam), Kelantan (3.16 malam), Kuala Lumpur (3.09 malam), Sabah (3.06 malam), Terengganu (2.69 malam), Putrajaya (2.68 malam), dan Pulau Pinang pada 2.59 malam.

Berdasarkan profil sosial & demografi pelawat domestik, sembilan negeri iaitu Johor, Melaka, Pahang, Pulau Pinang, Perlis, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya menerima majoriti pelawat domestik berpendapatan antara RM5,001 hingga RM10,000 sebulan.

Sementara itu, baki lima negeri iaitu Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak mencatatkan peratusan tertinggi pelawat domestik daripada isi rumah
berpendapatan RM1,001 hingga RM3,000 sebulan dan Pulau Pinang (RM3,001 hingga RM5,000). – MalaysiaGazette