KUALA LUMPUR – Pemuda Perikatan Nasional (PN) sepatutnya memperjuangkan nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menjadi mangsa pendakwaan terpilih.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, mereka sepatutnya memahami perkembangan terkini kes International Petroleum Investment Company (IPC) melibatkan Najib kalau mahu memperjuangkan keadilan.
Menurut beliau, pihak pendakwaan tidak mahu komen tentang memo dalam Pejabat Peguam Negara (AGC) yang bocor sedangkan memo itu menyatakan bukti tidak cukup dan Najib tidak sepatutnya didakwa.
“Itu kezaliman tanpa batas kepada Najib. Sepatutnya ini yang dibela oleh Pemuda PN,” katanya dalam hantaran Facebook, malam ini.
Perbicaraan enam tuduhan pecah amanah terhadap harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion yang dihadapi Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah akan bermula pada 4 Jun tahun hadapan.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan selama 30 hari dalam bulan Jun dan Julai selepas Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan.
Prosiding sebutan kes tersebut hari ini tidak menyebut langsung mengenai representasi kedua yang dimohon oleh Najib dan Irwan Serigar supaya AGC mengkaji enam tuduhan yang dihadapi mereka.
Mohd Puad menambah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga adalah mangsa pendakwaan terpilih.
Beliau mendakwa, perkara itu berlaku kerana bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berdendam dengan pemimpin-pemimpin UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Tetapi Pemuda PN buat ‘demo terpilih’. Kes lain mereka senyap. Empat negeri bawah Pas pula lantik Tun Mahathir sebagai penasihat,” jelasnya. – MalaysiaGazette