Anggota pasukan keselamatan memulakan operasi mencari barangan milik mangsa di sekitar kawasan kejadian nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Pesawat Beechcraft 390 yang terhempas di Elmina pada 17 Ogos lalu disahkan mempunyai sijil kelayakan dan diselenggara dengan baik.

Malah,  kedua-dua juruterbang mendapat rehat yang cukup sebelum penerbangan dan tidak mempunyai masalah perubatan serius, hasil sejarah kesihatan dan pemeriksaan fizikal.

Perkara itu dinyatakan dalam laporan awal tragedi nahas pesawat yang telah mengorbankan 10 nyawa.

Laporan 26 muka surat itu telah dimuat naik di laman rasmi Kementerian Pengangkutan (MOT).

Ia melaporkan  pengenalan, penerangan dan perjalanan pesawat sebelum terhempas.

Laporan itu menyebut, pesawat terbakar disebabkan magnitud daya nyahpecutan dan kebakaran selepas kemalangan.

“Kejadian itu berlaku pada waktu siang dengan jarak penglihatan yang jelas sehingga lebih 10 kilometer dan keadaan meteorologi yang baik.

“Tiada bukti ketidaupayaan atau faktor fisiologi yang menjejaskan prestasi kru penerbangan. PIC dilesenkan dan layak untuk penerbangan mengikut peraturan sedia ada,” menurut laporan tersebut.

Dalam masa yang sama, laporan itu turut mengesahkan tiada sisa atau bangkai unggas pada struktur pesawat.

Bulu burung juga tiada ditemui.

Untuk rekod, siasatan ke atas nahas yang berlaku di Bandar Elmina, Shah Alam itu dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB).

Selain itu, laporan berkenaan memaklumkan fail audio dan kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat telah berjaya dipulihkan oleh makmal di Amerika Syarikat (AS).-MalaysiaGazette