KUALA LUMPUR – Polis sedang menjejaki dan mengenalpasti individu yang mencuri bungkusan yang diletakkan di atas tembok sebuah rumah di Teluk Gedong Besar Klang semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 9.08 pagi hari ini daripada seorang perempuan berumur 59 tahun.
Katanya, siasatan mendapati pada jam 6 petang semalam barangan yang dihantar oleh pihak syarikat e-dagang ke rumah pengadu didapati telah hilang.
“Siasatan awal polis mendapati, pengadu telah membuat pembelian barangan keperluan rumah secara dalam talian melalui aplikasi e-dagang terkemuka.
“Barang yang ditempah itu telah dihantar oleh pihak syarikat e-dagang itu ke rumah pengadu pada Rabu antara jam 12.30 tengahari hingga jam 2.30 petang yang mana ia diletakkan di atas tembok pagar rumah pengadu tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, setelah mendapati barangan tersebut tiada di tempat ia diletakkan, wanitat tersebut membuat pemeriksaan terhadap rakaman Kamera Litar Tertutup yang dipasang di lobi rumahnya.
“Pengadu yang meneliti rakaman CCTV rumahnya terkejut apabila mendapati lebih kurang 5.26 petang, sebuah kereta jenis Perodua Kancil berwarna biru gelap telah berhenti di hadapan rumahnya.
“Seorang suspek individu tidak dikenali turun dari depan kereta berkenaan dan terus mengambil barangan tempahan milik pengadu yang diletakkan di tembok pagar rumah dan melarikan diri dari lokasi tersebut,” ujarnya.
Menurut Hoong Fong, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang selatan di talian 03-33762222 atau pergi ke balai polis berhampiran. -MalaysiaGazette