KUALA LUMPUR – Suzuki Motor Corporation akan meningkatkan pelaburan dalam bidang pembuatan motosikal di negara ini termasuk kerjasama dengan rakan teknikal tempatan iaitu KMSB Motors Sdn Bhd.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Suzuki Motor Corporation, Toshihiro Suzuki ketika membuat kunjungan hormat di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan amat mengalu-alukan hasrat syarikat dari Jepun itu kerana ia akan memberi manfaat kepada pelbagai pihak dalam rantaian industri pembuatan motosikal.
“Saya singgung bahawa Kerajaan Perpaduan mengamalkan dasar memudahkan urusan pelabur dalam dan luar negara.
“Dengan kerjasama ini, saya berharap Malaysia akan terus menjadi pilihan pelabur-pelabur dari Jepun,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Turut hadir dalam pertemuan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Isham Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KMSB Motors, Ahmad Faez Yahaya. – MalaysiaGazette