KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong mendoakan semoga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa.

Ucapan itu dizahirkan baginda sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-90 yang disambut pada hari ini.

“Baginda  menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-90 kepada seluruh warga angkatan tentera, para veteran angkatan tentera dan semua yang pernah berkhidmat bersama ATM,” menurut hantaran Facebook Istana Negara.

Selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, baginda amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan di atas jasa, khidmat bakti dan pergorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga dan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara yang kita cintai bersama ini.

Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh keluarga para perwira ATM yang telah terkorban semasa bertugas dan dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara, menurut hantaran Facebook Istana Negara.

“Seri Paduka Baginda mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin.

“Syabas dan tahniah,” titah baginda. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast