KYIV – Tapak bersejarah utama di dua bandar Ukraine berada dalam bahaya akibat kemusnahan perang berterusan dengan Rusia, menurut Unesco, badan warisan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ia termasuk Katedral Saint Sophia yang ikonik di ibu negara, Kyiv, dan bangunan zaman pertengahan tapak biara Kyiv-Pechersk Lavra di bandar itu.
Pusat bersejarah di bandar barat Lviv juga telah diletakkan dalam Senarai Warisan Dunia Unesco juga dalam bahaya.
Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata, Jawatankuasa Warisan Dunianya telah membuat kesimpulan bahawa “syarat optimum tidak lagi dipenuhi untuk menjamin sepenuhnya perlindungan Nilai Sejagat Cemerlang harta itu dan ia diancam oleh potensi bahaya akibat perang”.
“Berdepan dengan risiko serangan langsung, tapak ini juga terdedah kepada gelombang kejutan yang disebabkan oleh pengeboman dua bandar itu,” tambah mereka.
Unesco berkata, kemasukan tapak dalam senarai itu adalah peringatan kepada negara anggota PBB tentang tanggungjawab mereka untuk menyumbang kepada perlindungan tapak dan juga akan “membuka pintu” kepada bantuan kewangan dan teknikal selanjutnya.
Rusia telah memberi jaminan kepada PBB bahawa angkatan tenteranya mengambil “langkah berjaga-jaga yang perlu” untuk mengelakkan kerosakan, walaupun kenyataan itu dipertikaikan oleh Ukraine.
Penambahan terbaharu kepada senarai bahaya muncul pada bulan Januari lalu selepas bandar pelabuhan Ukraine di Odesa diserang hampir setahun Rusia mAkibaelancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine.
Odesa telah diserang oleh Rusia sejak beberapa bulan kebelakangan ini berikutan perjanjian yang membenarkan Ukraine mengeksport bijirinnya ke dunia melalui Laut Hitam tidak menjadi kenyataan.
Bandar ini diasaskan pada Zaman Pertengahan dan telah mengekalkan banyak warisan seni bina dan budayanya sebagai pusat pentadbiran, keagamaan dan komersial dari abad ke-13 hingga ke-20.
Ia telah disenaraikan ke dalam Senarai Warisan Dunia pada tahun 1998.
Sementara itu, Katedral Saint Sophia dibina pada abad ke-11 dan direka bentuk untuk menyaingi Hagia Sophia di Turki zaman moden, yang ketika itu merupakan sebahagian daripada Constantinople. – Agensi