Para peserta berkumpul di hadapan Sogo pada Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang dianjurkan oleh Perikatan Nasional ketika di sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Tiga pemimpin daripada Perikatan Nasional (PN) hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini untuk membuat laporan polis berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebas tanpa melepaskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan.

Mereka ialah Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris; Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali.

Ketiga-tiga mereka dilihat memasuki IPD Dang Wangi sekitar jam 2.30 petang tadi diiringi beberapa pegawai polis.

Anggota polis menjaga keselamatan orang ramai yang menyertai Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang dianjurkan oleh Perikatan Nasional ketika di hadapan Sogo, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 SEPTEMBER 2023.

Difahamkan, laporan polis itu dibuat ke atas Kerajaan Malaysia atas dakwaan menyalahgunakan kuasa menghentikan kes Ahmad Zahid dan meminta pihak berkuasa mendakwa semula Presiden UMNO itu.

Sebelum itu, mereka bersama beberapa pemimpin lain disertai lebih 3,000 orang berarak dari sebuah pasar raya di Jalan Dang Wangi sekitar jam 2.15 petang tadi.

Mereka berhimpun di Masjid Jamek Kampung Baru bermula 11 pagi tadi menerusi Himpunan Selamatkan Malaysia yang dianjurkan Pemuda Perikatan Nasional (PN) bersama gabungan badan bukan kerajaan (NGO) di ibu negara.

Para peserta dilihat melilit kain putih yang ditulis ‘#Selamatkan Malaysia’ di kepala serta memakai selendang bercorak ‘Jalur Gemilang’.-Malay