GEORGE TOWN – Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pulau Pinang mengesahkan menerima laporan berhubung kes seorang guru didakwa merotan pelajar Tingkatan Lima sehingga mengalami pendarahan pada mata kanan.

Pengarahnya, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung insiden itu termasuk mendapatkan maklumat terperinci daripada sekolah berkenaan.

“Kita mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam melakukan siasatan dan buat masa ini, saya tak boleh komen lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

“Selain itu, kita juga sedang menunggu laporan penuh daripada pihak sekolah dan ia dijangka peroleh Isnin ini.

“Bagaimanapun, JPN berharap isu ini dapat diselesaikan dengan cara baik,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar dakwa alami pendarahan mata akibat dirotan guru

Melampau bila pelajar hisap vape dalam kelas – CAP

MalaysiaGazette pada Khamis lalu melaporkan pelajar berusia 17 tahun mengalami pendarahan pada mata kanan selepas didakwa dirotan guru sekolahnya dalam kejadian di sebuah sekolah di Sungai Ara.

Bapa mangsa, Mazni Mohamad mendakwa anaknya dirotan selepas dikesan menghisap vape dalam kelas ketika sesi pembelajaran sedang berjalan.

Anak ketiga daripada lima beradik itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang. – MalaysiaGazette