Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin bahawa negara ini kuat dan mampu melonjak ke depan.

Menurut beliau, ia boleh dilakukan sekiranya semua pihak berani menolak sikap prasangka dan memupuk persefahaman dan kasih sayang.

Sehubungan itu, Anwar menggesa semua rakyat untuk menghayati semangat Hari Malaysia dengan rasa cinta yang mendalam terhadap negara, sikap ihsan dan kasih sayang sesama warga serta memperteguhkan perpaduan antara kaum.

“Selamat Hari Malaysia kepada seluruh anak bangsa! Segulai sejalai,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Hari Malaysia tahun ini disambut dengan tema yang sama dengan Hari Kebangsaan iaitu “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”.

Manakala frasa bahasa Iban di Sarawak “Segulai Sejalai” bermaksud “seiring sejalan” pula adalah cogan kata perpaduan untuk seluruh negara.

Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan kali ini diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak malam ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama menghayati erti sambutan Hari Malaysia.

Beliau berkata, kepelbagaian tidak menjadi kekangan untuk mengekalkan keharmonian yang utuh terjalin dalam kalangan keluarga besar rakyat Malaysia.

“Semarakkan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini sebagai bukti kecintaan kita pada negara seiring dengan tema sambutan #MalaysiaMADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ikatan persaudaraan dan keakraban kaum yang pelbagai di negara ini perlu ditautkan kembali.

Beliau juga meminta semua pihak berhenti memainkan sentimen raja, kaum dan agama (3R) yang hanya menjadi ancaman kepada perpaduan negara.

“Kerjasama dan perpaduan perlu dibina bersama oleh semua kaum tanpa rasa curiga dan iri hati kerana perjalanan untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran tidak boleh dilakukan secara bersendirian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast