KUALA LUMPUR – Malaysia yang menggabungkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan terus utuh selagi pemimpin dan pemikir yakin dengan peribahasa ‘bersatu teguh, bercerai roboh’.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Hari Malaysia disambut dalam semangat perpaduan yang menjadi asas kepada negara ini.
Menurut beliau, ada ketika timbul perasaan kurang senang antara satu sama lain namun ia dianggap perkara biasa dalam mana-mana penyatuan wilayah-wilayah berbeza.
“Kesatuan kita dalam kepelbagaian dan kepelbagaian kita dalam kesatuan.
“Ini kita sambut tanpa ketepikan asal-usul dan menafi sejarah pembentukan negara bangsa ini,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Malaysia ke-60, hari ini.
Beliau menyifatkan, enam dekad bukan tempoh singkat di mana banyak kenangan pahit dan manis dilalui bersama.
Dr Mahathir turut mengingatkan kembali tujuan asal penubuhan Malaysia adalah untuk memastikan pengaruh komunis tidak bertapak di Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak.
“Walaupun Singapura bukan sebahagian kita lagi, tetapi ke semua kita telah berjaya menyekat komunis bertapak.
“Kita juga setuju untuk bersama sebagai usaha ke arah kemerdekaan Sabah dan Sarawak. Ini juga telah kita capai,” jelasnya.
Beliau menambah, pengembangan ekonomi dan pembangunan bersama diharap akan terus dikemudi dan menjadi teras Malaysia. – MalaysiaGazette