KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong menzahirkan rasa sukacita dan bangga kerana roti canai kegemaran rakyat Malaysia telah dinobatkan sebagai roti terbaik di dunia oleh Tasteatlas, baru-baru ini.
Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada rakyat Malaysia atas kejayaan itu yang menyaksikan roti canai mengalahkan India yang popular dengan roti naan dan juga Eropah yang terkenal sebagai negara penghasilan pastri terbaik dunia.
“Roti canai juga adalah pilihan makanan yang digemari Yang di-Pertuan Agong,” menurut hantaran di Facebook Istana Negara.
TasteAtlas adalah laman panduan perjalanan dalam talian pengalaman untuk makanan tradisional yang mengumpulkan resipi asli, ulasan pengkritik makanan dan artikel penyelidikan tentang bahan dan hidangan popular.
Menduduki ranking pertama dalam carta tersebut, roti canai mendapat skor tertinggi iaitu 4.9 daripada 5.0 berdasarkan ulasan pengguna.
Ini bukan pertama kali roti canai menerima pengiktirafan daripada Tasteatlas.
Pada Julai lalu, ia pernah dinobatkan sebagai ‘roti rata’ terbaik di dunia.
Pada September tahun lalu juga, roti canai turut dianugerahkan sebagai makanan jalanan terbaik di dunia oleh laman antarabangsa itu. – MalaysiaGazette