Alat Pemadam Api (APA)

KUANTAN – Pembekal produk alat pemadam api (APA), Fire Fighter Solution merancang menyumbangkan alat pemadam api kepada semua Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) berdaftar di Pahang.

Pengarah Operasinya, Suziliana Abd. Rahim berkata, inisiatif tersebut merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan dan ia akan diedarkan bermula minggu ketiga bulan ini.

Tambah beliau, sumbangan tersebut bertujuan membudayakan penggunaan APA di seluruh taman perumahan di Pahang selain melibatkan penyertaaan KRT dan SRS bagi menjayakan ‘Kempen 1Rumah 1Alat Pemadam Api’ (1RAPI).

“Menerusi kempen ini, kita mahu setiap rumah memiliki sekurang-kurangnya satu unit alat pemadam api sebagai langkah awal mencegah kebakaran.

“Ia juga bagi membolehkan tindakan awal diambil sekiranya berlaku kebakaran di kediaman masing-masing,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, Suziliana berkata, kempen yangh dilakukan itu merupakan kesinambungan daripada kempen 1RAPI anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Mac 2021.

Sementara itu, beliau memberitahu, syarikat itu juga mengadakan kempen bagi memberi tunjuk ajar penggunaan APA pada waktu kecemasan dan sebelum bantuan anggota bomba tiba.

“Kita tahu kebanyakan pemilik kediaman masih tidak sedar kepentingan menyimpan alat pemadam api di kediaman masing-masing.

“Kita mahu orang ramai sentiasa bersedia dalam keadaan kecemasan terutama ketika berlaku kebakaran, atas sebab itu pentingnya ada alat pemadam api di rumah masing-masing,” katanya.

Mana-mana KRT dan SRS yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau sumbangan APA daripada syarikat berkenaan boleh menghubungi talian 010- 5184409. – MalaysiaGazette