Orang ramai berkumpul di hadapan Sogo pada Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang dianjurkan oleh Perikatan Nasional ketika di sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 SEPTEMBER 2023. -

KUALA LUMPUR – Himpunan Selamatkan Malaysia yang berlangsung semalam bukan untuk mengadakan himpunan aman tetapi lebih kepada mencemari sambutan Hari Malaysia, kata Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak.

Ketuanya, Chiew Choon Man berkata, pihaknya menghormati hak untuk berhimpun adalah hak setiap warganegara Malaysia mengikut Artikel 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan namun Sambutan Hari Malaysia tidak sepatutnya dicemari dengan demonstrasi yang hanya bertujuan untuk mengaibkan dan menghina pemimpin negara.

“AMK Keadilan Sarawak berpendapat bahawa menganjurkan perhimpunan protes pada hari yang bersejarah seperti Hari Malaysia adalah tindakan yang tidak menghormati semangat Hari Malaysia dan bertujuan untuk memecahbelahkan Rakyat kita.

“Hari Malaysia mempunyai martabat yang tinggi dalam sejarah dan merupakan simbol solidariti semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama, atau pertalian politik. Kita sepatutnya merayakan pencapaian dan kemajuan negara sejak penubuhan Malaysia.

“Hari Malaysia, simbol perpaduan yang menyatukan rakyat Malaysia di seluruh negara, dan Hari Malaysia sepatutnya menjadi platform refleksi, dalam memperkuat hubungan antara rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Choon Man yang juga Ahli Parlimen Miri mendesak agar Perikatan Nasional (PN) menghentikan segala tindakan dan kenyataan yang tidak membawa manfaat kepada negara malah bertujuan untuk memecahbelahkan Rakyat yang berbeza latar belakang.

“Kami menggesa Pemuda Perikatan Nasional untuk mencari saluran alternatif lain seperti contohnya dialog untuk meluahkan kebimbangan mereka. Melalui perbincangan bermakna dan pemahaman bersama, kita dapat menangani dan menyelesaikan isu-isu secara kolektif, memastikan kemajuan dan kemakmuran negara tercinta kita.

“Kami percaya bahawa semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kepercayaan politik, sepatutnya memberi keutamaan kepada kesepaduan nasional di atas segalanya, terutamanya pada hari peristiwa yang begitu bersejarah ini.

“Kepelbagaian kita adalah kekuatan kita, dan adalah penting bahawa kita memelihara ikatan yang menyatukan kita,” katanya lagi.

Semalam, satu himpunan diadakan dengan perarakan dari Masjid Jamek Kampung Baru diketuai Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard.

Mereka membuat tiga tuntutan iaitu meminta kerajaan mendakwa semula Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Kedua, mendesak agar Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibebaskan daripada kuasa eksekutif dan ketiga minta dan desak undang-undang lebih adil kepada semua rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.