Zarina Zainal Abidin

KUALA LUMPUR – Keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menimbulkan pelbagai andaian dan persepsi tidak baik terhadap sistem kehakiman negara, walaupun orang kena tuduh (OKT) yang mendapat DNAA dari mahkamah, boleh dituduh dan dibicarakan atas pertuduhan yang sama.

Ia berdasarkan Seksyen 254 Kanun Keseksaan DNAA yang mana OKT boleh dilepaskan daripada pertuduhan yang sedang dihadapi, tetapi boleh juga dituduh dan dibicarakan atas pertuduhan yang sama.

Menurut pengamal undang-undang yang juga Pengerusi Biro Undang-Undang, Perlembagaan, Anti Rasuah dan Integriti parti Putra, Zarina Zainal Abidin, ia kerana DNAA boleh dilihat sebagai proses melengkapkan kertas siasatan dan merangka balik pendakwaan dengan disokong bukti lebih meyakinkan, yang akhirnya memberi kekuatan dari segi fakta dan undang-undang kepada pihak pendakwaan.

“Bagaimanapun, rakyat melihat DNAA ke atas Ahmad Zahid sebagai satu proses tawar menawar bagi mengekalkan kuasa dan mendapatkan pelepasan yang pada dasarnya amat sukar, apatah lagi mahkamah telah mendapati wujud prima facie kes sehingga OKT telah dipanggil membela diri,” katanya di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, seksyen itu yang menerangkan maksud dilepaskan tanpa pembebasan telah diulas Pensyarah Undang-Undang Dr Haidar Dziyauddin bahawa frasa DNAA yang digunakan dalam bidang perundangan semasa proses pendakwaan sedang berjalan berkaitan rasuah telah disalah tafsir pelbagai pihak yang tidak mempunyai pemahaman komprehensif mengenai selok-belok pemakaian dan penggunaan undang-undang di mahkamah.

Menyelusuri situasi tersebut, kata Zarina, secara tidak langsung memberi bayangan Pejabat Peguam Negara seolah-olah dikuasai tangan ghaib yang mencampuri urusan pendakwaan.

“Oleh itu, aspek perundangan di negara kita sedang ‘sakit’ dan penambahbaikan mesti dibuat dengan secepat mungkin selaras laungan reformasi serta tata kelola bagi mengembalikan keyakinan rakyat.

“Masyarakat ingin tahu dan perlu diberi penerangan secara telus adakah perkara ini merupakan satu percaturan politik semata-mata atau sebaliknya.

“Rakyat sedang memerhati tindak tanduk kerajaan satu persatu dalam mengembalikan keyakinan pelabur asing berkaitan aspek ketelusan dan usaha membanteras jenayah rasuah seperti yang dilaungkan sebelum ini,” ujar beliau.

Katanya, sikap retorik kerajaan tidak memberi nilai tambah kepada pemulihan ekonomi, bahkan kesan lebih buruk di saat rakyat mengharapkan tindakan lebih pro aktif dalam menangani masalah di peringkat bawahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast