KUALA LUMPUR – Tindakan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan tidak melanggar apa-apa peruntukan undang-undang, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ini kerana, MUDA tidak menyertai mana-mana gabungan dan hanyalah berdasarkan kepada pakatan PRU15, kata Syed Saddiq.
“Penyertaan MUDA dalam PRU15 berdasarkan kepada pakatan PRU dan tidak dimasukkan sekali dalam mana-mana gabungan politik sebab itu yang tanda tangan watikah (penamaan calon) adalah saya sebagai presiden dan kita gunakan logo dan bendera MUDA.
“Selepas PRU15 sendiri, dalam proses tanda tangan memorandum (Kerajaan Perpaduan), saya ada bangkitkan persoalan adakah saya akan hadir tanda tangan, Rafizi Ramli berkata tidak perlu.
“Saya hanya perlu hadir kerana akhirnya kita tidak berada dalam blok politik GRS, GPS, BN ataupun PH tapi kita sekadar menandatangani MOU menerusi pakatan PRU,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Jelas Syed Saddiq, tindakan menarik balik sokongan itu dibuat secara en-bloc, selari peruntukan mengikut Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
Malah Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar menegaskan, tiada keperluan bagi mana-mana wakil rakyat MUDA mengosongkan kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atau pilihan raya negeri (PRN).
“Ia (menarik balik sokongan) keputusan berlandaskan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Lompat Parti yg diketengahkan bersama (di Dewan Rakyat), sebelum ini.
“Malah, kita (MUDA) tidak dimasukkan dalam Pakatan Harapan (PH), selain MUDA sebagai parti membuat keputusan bersama dalam hal ini (menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan).
“Kerjasama antara MUDA dan PH sebelum PRU15 dibuat berdasarkan ‘electoral pact’ (pakatan pilihan raya). Justeru, kita berada dan (keputusan dibuat) berlandaskan perlembagaan,” katanya lagi.
Minggu lalu, MUDA mengumumkan tidak lagi bersama dengan Kerajaan Perpaduan dan akan duduk di blok pembangkang sebagai kuasa ketiga.
Punca utama MUDA menarik sokongan antaranya, selepas Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Anwar, akhir-akhir dilihatnya bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
Syed Saddiq berkata, keputusan Peguam Negara melepaskan tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi daripada 47 kes pertuduhan ketika prosiding berada di peringkat bela diri, tanpa penjelasan meyakinkan, menimbulkan banyak tanda tanya kepada rakyat secara umum. – MalaysiaGazette
Buat menyemak aje