KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berpandangan, pembebasan seseorang individu daripada pertuduhan yang dihadapi sepatutnya berlaku setelah selesai proses kehakiman yang adil.
Menurut beliau, ia tidak sewajarnya diberhentikan sebelum selesai prosesnya dengan cara yang tidak berakidah dan tidak bermaruah.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, seseorang yang tidak bersalah serta berakidah dan bermaruah perlu berani berdepan dengan proses kehakiman secara sempurna, bukannya melarikan diri dengan cara yang tidak bermaruah.
“Seseorang yang benar-benar beriman dan bermaruah, kalau bersalah, dia rela dihukum di dunia.
“Kalau tidak, nanti akan dihukum pada Hari Akhirat oleh Allah yang Maha Mengetahui yang tetap mengadili dengan proses kehakiman-Nya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada 13 September lalu, Abdul Hadi menegaskan, tiada keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam sistem kehakiman Islam.
Beliau melontarkan pandangan itu ketika pelbagai pihak mempersoalkan keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC) memohon menghentikan 47 pertuduhan rasuah berkaitan dana Yayasan Akalbudi terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Abdul Hadi menambah, para khalifah dan raja Islam yang mengikuti teladan Nabi Muhammad SAW bersikap terbuka dan sedia dihukum di alam dunia kerana mengelak daripada dibicarakan di alam akhirat.
Beliau memberitahu, kepercayaan mereka bahawa dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) secara salah tidak boleh membebaskan mereka di mahkamah Allah SWT pada Hari Akhirat.
“Mereka yang lumpuh akidahnya dan tiada maruahnya boleh melakukan apa-apa sahaja tanpa rasa takut dan malu di dunia dan akhirat,” jelasnya.
Abdul Hadi berkata, Islam juga mengharamkan para hakim yang arif dan bijaksana diperlakukan seperti robot atau lampu isyarat jalan raya yang dinyalakan lampu hijaunya untuk membebaskan laluannya.
“Tanpa diketahui bilakah lampu merahnya dinyalakan atau jalannya ditutup,” katanya. – MalaysiaGazette