Penempatan Haram dalam hutan di PUncak Alam berjaya membawa kepada tangkapan 39 PATI oleh JIM dalam Operasi yang diadakn pada 16 September lalu. Ihsan JIM Putrajaya

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 39 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang didapati telah mendirikan penempatan haram di dalam kawasan hutan di Puncak Alam, Selangor.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kesemua PATI berkenaan telah diberkas dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen Bersepadu yang dijalankan pada jam 2.00 pagi 16 September lalu.

“Dalam operasi ini seramai 95 orang warga asing telah diperiksa dan hasilnya seramai 39 orang PATI yang berumur di antara dua hingga 52 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Semakan lanjut mendapati kesemua PATI yang ditahan adalah warganegara Indonesia yang terdiri daripada 14 lelaki, 22 perempuan, seorang kanak-kanak lelaki dan dua orang kanak-kanak perempuan.

“Pasukan operasi terpaksa berjalan kaki di dalam gelap hampir 15 minit untuk sampai ke penempatan haram tersebut melalui jalan hutan,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penempatan Haram dalam hutan di PUncak Alam berjaya membawa kepada tangkapan 39 PATI oleh JIM dalam Operasi yang diadakn pada 16 September lalu. Ihsan JIM Putrajaya

Operasi berkenaan telah dilaksanakan dengan kekuatan seramai 110 orang pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Bahagian Pengurusan Depot dan Tahanan, Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Ibu Pejabat, Putrajaya dan dibantu oleh 13 orang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta lima orang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Tambah beliau, serbuan yang dilaksanakan pada malam Sabtu lalu itu sangat mencabar kerana penempatan haram PATI itu terletak jauh di dalam hutan dan dikelilingi cerun yang curam.

Katanya, terdapat banyak lorong-lorong yang tersembunyi disyaki dibina oleh PATI berkenaan bagi memudahkan mereka meloloskan diri daripada ditangkap oleh pihak berkuasa semasa serbuan.

“Semasa serbuan kali ini,terdapat PATI yang cuba melarikan diri melalui lorong-lorong hutan dan melompat ke cerun-cerun yang curam sehingga boleh membahayakan keselamatan diri sendiri.

“Bagaimanapun, hampir semua yang cuba melarikan diri berjaya diberkas kerana kawasan tersebut telah dikepung terlebih dahulu oleh pihak penguatkuasa JIM.

“Manakala, baki 56 orang yang diperiksa tidak ditahan kerana mereka mempunyai slip pendaftaran program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah laku,” katanya.

Menurut Ruslin, pihaknya akan memanjangkan maklumat dan laporan penempatan haram ini kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlibat untuk tindakan perobohan.

Menurutnya, antara kesalahan yang dikenalpasti terhadap PATI itu ialah mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut. -MalaysiaGazette