Abdul Rashid Ghaffour
Abdul Rasheed Ghaffour

KUALA LUMPUR – Hampir 70 peratus isi rumah berpendapatan rendah di Malaysia tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk memenuhi keperluan asas mereka setiap bulan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, maklumat itu dikeluarkan oleh Bank Dunia baru-baru ini.

Menurut beliau, situasi itu menunjukkan kesan pemulihan ekonomi selepas krisis pandemik COVID-19 masih tidak menentu.

“Adalah jelas bahawa masih banyak perkara yang kita boleh dan mesti lakukan untuk menangani cabaran-cabaran ini.

“Ia termasuk memberi keutamaan kepada dasar-dasar untuk membina semula simpanan persaraan, menambah baik sasaran dan keberkesanan program-program sosial, meningkatkan jaringan keselamatan sosial, menggalakkan penyertaan buruh yang aktif dan memudah cara peralihan teratur untuk ekosistem yang lebih hijau,” katanya.

Abdul Rasheed berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) 2023, di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, tidak dapat dinafikan bahawa sektor kewangan memainkan peranan penting dalam mendukung transformasi ekonomi yang mampan.

Katanya, bagi melaksanakan perubahan pada kepantasan dan skala yang diperlukan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030, orientasi semula keutamaan pelaburan seharusnya dilakukan agar selaras dengan prinsip-prinsip yang lebih mampan dan berasaskan nilai.

“Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan jumlah dana yang signifikan iaitu AS$4.3 trilion dalam pelaburan tahunan global diperlukan bagi mencapai sasaran SDG.

“Walaupun jumlah ini kelihatan besar, ia hanya bersamaan kira-kira 1 peratus daripada nilai keseluruhan aset kewangan AS$379 trilion yang dipegang oleh bank, pelabur institusi dan pengurus aset,” jelasnya.

Abdul Rasheed percaya, integrasi SDG dalam pelan pembangunan negara dan pemantauan pelaksanaannya akan membantu usaha meningkatkan kualiti hidup, menggalakkan pertumbuhan yang lebih inklusif dan menambah baik daya saing global negara.

Menurut beliau, rangka kerja ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ yang diumumkan baru-baru ini memperkukuhkan lagi aspirasi dan komitmen untuk menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan pertimbangan yang mampan.

“Di pihak sektor kewangan, inisiatif-inisiatif baharu sedang dilakukan bagi merancakkan lagi kemajuan ke arah pembangunan mampan melalui pengenalan alat-alat bagi para pelabur mencari peluang pelaburan yang selaras dengan SDG di Malaysia dan instrumen kewangan mampan baharu untuk menambah modal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Ringgit terus merundum, harga makanan semakin mahal, rakyat tiada kuasa. Keadaan diramalkan akan bertambah buruk disebabkan ketidakcekapan pakatan hancing.

    Oleh itu raikanlah sahaja, peace.

Comments are closed.