Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menuntut pemain industri beras utama negara, Tan Sri Syed Mokhtar Bukhary dan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menjawab dengan tepat berhubung kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran ketika ini.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, isu kekurangan beras semakin kritikal dari semasa ke semasa sehingga ada rakyat terpaksa mencatu bekalan makanan itu untuk keperluan keluarga.

Kata beliau, jawapan menteri dan agensi terlibat hanya sekadar manis di bibir, sedangkan realitinya rakyat terus menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan beras tempatan.

“Adalah amat sedih dan memalukan dengan keadaan yang berlaku. Kerajaan Madani walaupun sudah lebih 10 bulan mentadbir ibarat ayam betina mengeram, tapi tidak bertelur.

“Rakyat sudah mula mencatu beras di Bachang, Melaka seperti dilalui seorang penduduk, Zamrah Khalil yang terpaksa mencatu beras untuk empat anaknya.

“Selaku Presiden Parti Putra, yang sentiasa prihatin dengan penderitaan rakyat, saya amat sedih ketiadaan beras tempatan seperti tiba-tiba hilang di pasaran,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan, kemelut bekalan beras tempatan yang terputus sejak lebih tiga bulan lalu terus menghimpit pengguna dan peniaga di Melaka sehingga terpaksa beralih kepada beras import pada harga yang meningkat saban minggu.

Tinjauan di beberapa kedai runcit di Bachang mendapati, rata-rata mereka mempersoalkan sampai bilakah masalah itu perlu dihadapi dalam suasana cabaran ekonomi hari ini.

Ibu tunggal, Zamrah Khalil, 38, berkata, dia terpaksa mencatu beras untuk keperluan harian empat anaknya berusia empat, sembilan, 16 dan 17 tahun kerana terpaksa menggunakan beras import yang tidak terkawal harganya.

Menurut Ibrahim, beliau merasa pelik mutakhir ini bekalan beras tempatan di negara ini hilang begitu mudah dan dalam sekelip mata.

“Banyak yang hilang kebelakangan ini. Duit rakyat hilang, tanah bernilai hilang, balak hilang, nadir bumi hilang dan macam-macam angkara lagi. Mungkin penguatkuasa bernama tatakelola bercuti panjang.

“Saya mahu tanya secara langsung kepada Syed Mokhtar dan CEO Bernas yang merupakan pemain industri beras utama bagi negara, berapa banyak beras import tiap bulan di pasaran?

“Apakah jumlah di pasaran sama dengan yang diimport? Contohnya, kalau 100 tan diimport, sepatutnya 100 tan mesti ada di pasaran. Kalau import 100 tan, tapi di pasaran ada 300 tan, apakah ini boleh berlaku? soalnya.

Beliau juga mempersoalkan berapa peratus beras tempatan yang sama kualiti dengan beras impot, yang mana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup perlu tahu.

“Malangnya, kini kementerian berkenaan sibuk dengan urusan jualan Rahmah, tanpa menumpukan kepada penguatkuasaan di semua sektor dengan tegas terutama memerangi pelbagai kartel tanpa tolak ansur.

“Kerajaan sepatutnya perang habis-habisan terhadap pelbagai jenis kartel dan pastikan tidak berlaku penyeludupan beras, bukan memberi tumpuan kepada kegiatan seludup diesel sahaja,” katanya.

Kata Ibrahim, semua sedia maklum, Syed Mokhtar pernah berjanji Bernas akan menyumbang RM50 juta tahun ini untuk diagihkan kepada pesawah miskin berbanding RM10 juta tahun lalu.

Jelas beliau, apakah mungkin masalah beras tempatan kurang di pasaran disebabkan mainan pihak tertentu mahu mencari untung?

Dalam ilmu ekonomi, ujarnya, apabila kos ditanggung oleh pengeluar dengan dikenakan cukai tambahan, maka pengeluar akan naik harga barang kononnya untuk mengatasi kerugian.

“Yang menjadi mangsa menanggung derita daripada keadaan ini adalah rakyat.

“Maka, Putra mencadangkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim melupakan sumbangan RM50 juta dari Bernas, tetapi memastikan bekalan beras kembali pulih di pasaran seperti biasa.

“Mengenai urusan membela petani boleh diurus cara lain. Ramai lagi tokoh koporat yang mendapat faedah dari kerajaan sepatutnya menyumbang kepada Tabung Kemiskinan Negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast