KUALA LUMPUR – BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment) mengumumkan agihan pendapatan untuk BIMB-ARABESQUE i Global Dividend Fund 1
(BiGDF1) bagi tahun kewangan yang akan berakhir pada 31 Mac 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Azdini Nor Azman, berkata, dengan BiGDF1, landskap pengurusan dana berkembang melalui penyelesaian teknologi kewangan yang membina portfolio pelaburan yang memfokus kepada pertumbuhan modal disamping menguruskan turun naik pasaran secara efektif, menganalisis data dan membuat keputusan tanpa intuisi.
BiGDF1 menggabungkan nilai syariah dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), dengan lancar memanfaatkan kuasa teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk memberikan prestasi konsisten dan mampan.
Pertama kali diperkenalkan pada November 2015 dan BiGDF1 dilancarkan semula pada 2019 untuk pelabur runcit, merupakan satu daripada dana ekuiti global Syariah terbesar di Malaysia, dengan saiz dana lebih RM200 juta setakat 31 Ogos 2023, menurut kedudukan Refinitiv Lipper IM.
Dana tersebut telah dianugerahkan Dana Ekuiti ESG Terbaik 2020 oleh The Asset Islamic Finance Awards 2020. Ia mengkhusus kepada peningkatan modal jangka panjang dan menyediakan pelabur akses kepada pelaburan dalam ekuiti global patuh Syariah.
Ia sesuai untuk pelabur yang mencari pendedahan kepada ekuiti patuh syariah pasaran maju global, dengan toleransi risiko sederhana hingga tinggi dan horizon pelaburan lima tahun atau lebih. BiGDF1 melabur sekurang-kurangnya 90% daripada nilai aset bersih (NAV) daripada dana tersebut ke dalam
Dana Sasaran dan maksimum 10% daripada NAV ke dalam deposit tetap Islam, instrumen pasaran wang Islam dan/atau pasaran cair Islam.
Dana tersebut mengimbangi semula portfolionya setiap hari di antara ekuiti dan tunai untuk pulangan pelaburan risiko terlaras yang mampan dan mengurangkan risiko dan pengeluaran semasa kegagalan pasaran.
Jumlah pelaburan permulaan minimum ialah RM500 untuk Kelas RM dan Kelas Terlindung Nilai RM, SGD500 untuk Kelas SGD dan USD500 untuk Kelas USD. – MalaysiaGazette