Pengarah bukan eksekutif bebas Mercury Securities Group Bhd Datin Chua Suat Khim, pengarah bukan eksekutif bebas Chan Kim Hing, pengerusi bukan eksekutif bebas Datuk Baharon Talib, pengarah bukan eksekutif bukan bebas Datuk A Rahman Safar, pengarah urusan Chew Sing Guan, dan pengarah bebas bukan eksekutif Himahlini M Ramalingam pada majlis penyenaraian Pasaran ACE di Kuala Lumpur pada hari ini.

KUALA LUMPUR –  Mercury Securities Group Berhad (Mercury Securities), memulakan penampilannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) dibuka pada RM0.27 sesaham yang mewakili premium sebanyak 8 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM0.25 sesaham.

Mercury Securities disenaraikan di bawah nama saham “MERSEC” dengan kod saham “0285” ialah sebuah syarikat pegangan pelaburan dan melalui anak syarikat milik penuhnya, Mercury Securities (sebuah organisasi penyertaan Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) dan sebuah Penasihat Utama yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia).

Ia terlibat dalam penyediaan pembrokeran saham, khidmat nasihat kewangan korporat dan perniagaan lain yang berkaitan seperti perkhidmatan kemudahan pembiayaan margin, perkhidmatan taja jamin dan penempatan, serta penyediaan penama dan perkhidmatan penjaga.

Kumpulan ini memperoleh sejumlah RM39.27 juta melalui IPO, yang mana RM26.86 juta daripada hasil itu diperuntukkan untuk perkhidmatan kemudahan pembiayaan margin.

Sejumlah RM2.88 juta diperuntukkan untuk penambahbaikan program pendigitalan dan aktiviti pemasaran untuk perniagaan pembrokeran saham dan operasi kumpulan. RM4.63 juta daripada hasil itu akan digunakan untuk tujuan modal kerja manakala baki RM4.90 juta diperuntukkan untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian.

Pengarah Urusan Mercury Securities, Chew Sing Guan mengucapkan terima kasih kepada SC dan Bursa Securities atas pengawasan berterusan terhadap pasaran modal syarikat.

Selepas penyenaraiannya di Pasaran ACE, Mercury Securities akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM223.25 juta berdasarkan harga terbitan RM0.25 sesaham dan modal saham terbitannya yang diperbesarkan sebanyak 893.00 juta saham. – MalaysiaGazette