Jualan Program JER di Selangor menawarkan harga barang keperluan yang murah dan berpatutan.

SHAH ALAM – Rakyat merungut harga barang keperluan seperti beras dan telur naik, tetapi pada masa sama mereka tidak mengendahkan Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang kerajaan Selangor perkenalkan sejak sekian lama.

Sedangkan harga barangan yang mereka perlukan di program JER jauh lebih murah dan berpatutan berbanding dijual di pasar raya borong dan kedai runcit.

Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dari semasa ke semasa memaklumkan kepada rakyat negeri itu mengenai program berkenaan.

Bagaimanapun, masih ada lagi yang tidak mengunjungi lokasi program JER yang dihebahkan, sebaliknya lebih gemar memilih pasar raya borong dan kedai runcit untuk membeli barang keperluan.

Menurut kenyataan PKPS, sejak tiga hari dari semalam hingga esok, pihaknya akan melangsungkan program itu di seluruh negeri.

Kata kenyataan itu, hari ini tiga lokasi program JER berlangsung iaitu di pekarangan Pejabat Keadilan Cabang Sabak, Taman Muhibbah; di Tapak Pasar Malam Batu 8, Jalan Meru Tambahan; dan di Jalan P4/3, Bandar Teknologi Kajang.

Sepanjang program JER, menawarkan jualan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Setakat ini, program itu sudah dianjurkan di lebih 2,000 lokasi seluruh negeri dan dianggarkan memberi manfaat kepada kira-kira 4.5 juta penduduk.

Esok, program JER berlangsung di pekarangan Surau As Aalam, Fasa Dynasty Hulubalang 10C, Taman Sentosa, Klang; Masjid Cahaya Iman, Jalan Desa Utama 4/1, Bandar Country Gomes, Rawang; dan kawasan belakang Tadika Kemas, Jalan 5/6 Taman Serdang Jaya, Seri Serdang.

Orang ramai boleh menyemak lokasi terkini program JER di seluruh negeri menerusi Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS. – MalaysiaGazette