Muhammad Rafique Rashid Ali,

KUALA LUMPUR – Rakyat perlu berani menyatakan pandangan dan mengkritik kerajaan kerana ia adalah hak mereka sebagai warga Malaysia.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali, adalah tidak salah selagi pandangan yang diluahkan itu bersifat rasional dan mengikuti lunas undang-undang.

“Jangan menggunakan bahasa yang tidak elok, memaki hamun atau menghina mana-mana pihak, sebaliknya satu kritikan membina yang boleh digunakan untuk membangun serta memajukan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memberi keterangan berkaitan Himpunan Aman Selamatkan Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Muhammad Rafique berkata, Perhimpunan Aman Selamatkan Malaysia adalah satu platform untuk seluruh rakyat menyatakan pandangan masing-masing kepada kerajaan.

Tambah beliau, perhimpunan tersebut membolehkan seluruh masyarakat berbilang bangsa berkumpul dan langkah tepat meluahkan pendapat.

Katanya, selaras dengan agenda Pejuang, ia digunakan bagi menyatakan rasa tidak puas hati berhubung isu rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku di negara ini.

“Berdasarkan Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012 yang telah digubal oleh kerajaan membenarkan rakyat untuk berkumpul dan menyatakan pendapat.

“Tapi saya tidak faham bagaimana polis boleh nyatakan tiada permohonan kerana jelas seluruh rakyat tahu bahawa akan ada perhimpunan aman ini bagi menyuarakan pandangan rakyat dan saya yakin segala permohonan mengenai penganjuran ini telah dipenuhi oleh pihak sekretariat penganjuran,” katanya. -MalaysiaGazette