SHAH ALAM – Kekecohan dalam pelantikan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor sudah dijangka, apatah lagi jumlah wakil rakyat pembangkang semakin besar sejak Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15).
Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San berkata, gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PHBN) perlu akur kepada tuntutan pembangkang yang mahu jawatan itu diisi melalui undian.
Beliau berkata, ini kerana jawatan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor tidak pernah dipertandingkan sejak Pakatan Rakyat (PR) merampas Selangor daripada BN pada 2008.
“Kita memang sudah jangka kerana pemilihan jawatan Speaker dan Timbalan Speaker tidak pernah berlaku sejak 2008.
“Saya masih ingat 2008, Datuk Teng Chang Khim, kemudian pada 2013, Hannah Yeoh dan pada 2018 Ng Suee Lim.
“Semuanya menang tanpa bertanding, tiada penamaan calon lain daripada pihak pembangkang,” katanya pada sidang media di lobi bangunan Annex, di sini, hari ini.
Terdahulu Weng San yang juga bekas Ahli Dewan Negeri Banting dan Mohd Kamri Kamaruddin (PKR-Bukit Antarabangsa) masing-masing dilantik sebagai Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor melalui undian sulit.
Pelantikan itu dibuat dalam Mesyuarat Pertama (Angkat Sumpah) Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor ke-15 di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Dalam pada itu, Weng San yang juga Setiausaha Organisasi DAP Selangor berkata, beliau komited untuk menjalankan tugas baharunya sebaik mungkin.
“Apa pun saya berterima kasih kepada semua yang hadir untuk memberi sokongan.
“Kita akan menjalankan tugas dengan adil dan saksama kepada semua, kita tidak akan prasangka ataupun berat sebelah.
“Kita akan melakukan terbaik untuk rakyat Selangor dan ahli-ahli Dewan yang dipilih,” katanya. – MalaysiaGazette