Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

KUALA LUMPUR – UMNO Kedah menyifatkan kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sangat emosional dan berniat jahat.

Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kenyataan itu juga menunjukkan ada beberapa pembuktian komplot dan konspirasi jahat politik.

“Tun Dr Mahathir sebentar tadi telah memuat naik satu kenyataan di Facebook beliau mengenai DNAA Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi. Ternyata keadaan beliau sangat emosional dan berniat jahat, di samping ada beberapa pembuktiaan komplot dan konspirasi jahat politik

“Pendakwaan terhadap Dato Seri Zahid iaitu kehadiran memo bocor daripada Pejabat Peguam Negara serta memoir bekas Peguam Negara Tommy Thomas langsung tidak disentuh.

“Pendakwaan terhadap Dato Seri Zahid membuktikan wujudnya satu “drive” ataupun tekanan yang sangat tinggi daripada Tun Mahathir sendiri hasil daripada dendam amarah bermula daripada sebelum PRU ke-14 lagi,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Menurut Shaiful Hazizy, umum mengetahui modus operandi Mahathir yang sering menggunakan institusi perundangan sebagai perkakas beliau membunuh musuh politik

Jelasnya, Mahathir sendiri berulang kali mengaku beliau mengancam Presiden UMNO dengan meletakkan parti itu sebagai tebusan.

“Ancaman ini juga terjadi akibat keresahan Tun Mahathir sendiri yang takut kemungkinan UMNO akan kembali sebagai sebuah parti yang dominan pada waktu itu.

“Malah, arahan jelas terhadap Presiden UMNO itu sendiri membuktikan wujudnya intimidasi dan ugutan politik terhadap Ahmad Zahid,” katanya.

Beliau berkata, bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu sangat terdesak untuk kembali relevan.

“Bagi saya, kenyataan beliau ini umpama hendak menunjukkan ‘kebersamaan’ beliau untuk kekal relevan bersama Perikatan Nasional (PN).

“Umum sedia maklum kesediaan Tun Mahathir untuk menjadi penasihat khas di empat negeri di bawah PN dan sebelum ini keterlibatan beliau dikebanyakan pentas ceramah pembangkang.

“Oleh itu, saya mendesak agar kerajaan menyegerakan pembentukan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat kandungan memoir bekas Peguam Negara,” katanya.

Beliau yakin RCI itu satu-satunya harapan rakyat Malaysia diberi pendedahan wujudnya seorang bekas pemimpin negara yang sangat kejam dan rakus membunuh musuh politiknya dengan memperalatkan institusi perundangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast