KEPALA BATAS – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) berkeyakinan positif bekalan beras tempatan akan kembali stabil dalam tempoh sebulan lagi.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ketika ini Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sedang menuai padi dan 20 peratus daripada hasil itu akan dikilangkan untuk menampung keperluan bekalan makanan asas itu.
Bagaimanapun, kata beliau, sementara mencapai tempoh tersebut, pihaknya melaksanakan intervensi bagi menampung kekurangan bekalan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
“Kita lakukan intervensi seperti mana kita buat ketika ada masalah bekalan ayam, telur sehingga bekalan itu kembali stabil dan kalau isu sama berlaku pun hanya membabitkan kawasan tertentu bukan secara keseluruhan.
“Seperti saya sebut dalam Parlimen, padi dalam kawasan MADA sedang dituai sekarang ini dan 20 peratus hasil itu akan dikilangkan sekali gus beras kita ini akan kembali stabil dalam tempoh sebulan lagi,” katanya selepas merasmikan pelancaran jualan beras putih tempatan di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena di sini hari ini.
Pada majlis itu, sebanyak 2,000 kampit beras dengan berat keseluruhan 20 tan dijual kepada orang ramai.
Turut berlangsung Jualan Agro Madani membabitkan barangan seperti ayam, telur, daging, minyak, sayur-sayuran dan lain-lain yang mana pengguna dapat penjimatan 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran setempat.
Mengulas lanjut Mohamad menasihatkan orang ramai agar tidak membuat pembelian panik hingga menjejaskan bekalan beras tempatan.
“Kita dapati ramai (pengguna) membeli beras tempatan lebih daripada kadar biasa dengan alasan bimbang tiada beras bulan depan.
“Kalau kita lihat kenaikan harga mendadak berlaku membabitkan beras import dan kenaikan itu berlaku seluruh dunia termasuk di negara jiran iaitu Indonesia.
“Harga beras tempatan dalam kawalan dan setakat ini pihak pemborong, pengilang memberi kerjasama baik untuk mencukupkan beras dalam pasaran,” katanya.
Ketika diminta mengulas sama ada pihaknya menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengatasi isu bekalan beras tempatan, Mohamad berkata, pasukan yang diketuai Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood sedang menangani isu tersebut buat masa ini.
“Pasukan mereka (kawal selia padi dan beras) dengan kerjasama KPDN sentiasa membuat serbuan serta mengambil langkah agresif bagi mengekang masalah beras tempatan dimanipulasi.
“Tindakan tegas akan diambil sekiranya ada aduan membabitkan tukar kampit beras tempatan kepada import untuk dijual pada harga lebih tinggi,” tegasnya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tiada kenaikan harga beras tempatan.
Anwar berkata, beliau telah mengarahkan menteri-menteri berkaitan untuk turun padang dan memantau harga barangan di pasaran memandangkan isu berkenaan tidak boleh diambil ringan oleh kerajaan. – MalaysiaGazette