Mondy bersama Ebit Lew.

SUBANG JAYA – Polis telah selesai mengambil keterangan daripada penyanyi rap, Caprice dan pempengaruh dari Indonesia, Mondy Tattoo bagi membantu siasatan berhubung laporan polis oleh pendakwah terkenal Ebit Irwnan Ibrahi Lew atau Ebit Lew Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, kedua-dua individu itu telah dirakam percakapan semalam.

“Berikutan laporan polis yang diterima itu, kita telah membuka kertas siasatan dalam kes ini.

“Semalam (Selasa) dua individu itu iaitu Ariz Ramli (Caprice) dan Dita Restu Amanda (Mondy) telah selesai dirakam keterangan oleh pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Fairus, bagi melengkapkan kertas siasatan, polis akan memanggil beberapa lagi individu lagi dalam masa terdekat.

Menurutnya, keterangan telah diambil daripada kedua-dua individu itu di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam mengesahkan pihaknya akan memanggil Caprice dan Mondy Tattoo untuk merakam keterangan berikutan laporan polis fitnah yang dibuat oleh Ebit Lew kelmarin.

Laporan polis itu dibuat oleh Ebit pukul 2.17 pagi susulan dakwaannya difitnah menerusi satu program bual bicara menerusi media sosial. – MalaysiaGazette