PUTRAJAYA – Sebuah lori dipercayai telah mengubah laluan dari lorong tengah ke kiri sebelum merempuh 11 buah kenderaan termasuk sebuah motosikal pengiring polis di Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara di sini hari ini.
Kemalangan itu mengakibatkan dua individu maut.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira lebih kurang pukul 10.14 pagi.
Hasil semakan polis terhadap kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menghala ke Puchong berhampiran susur keluar Persiaran Timur mendapati sebuah lori yang datang dari arah belakang dipercayai telah mengubah laluan lalu merempuh beberapa buah kenderaan yang berhenti di lokasi tersebut.
“Akibat rempuhan kuat telah mengakibatkan dua individu iaitu penunggang motosikal maut di lokasi kejadian manakala beberapa individu lain telah mengalami kecederaan dalam insiden itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Asmadi, pemandu lori yang mengakibatkan kemalangan itu kini telah ditahan polis untuk membantu siasatan lanjut.
“Pemandu lori yang sudah ditahan itu akan dilibatkan dalam ujian saringan air kencing untuk tindakan selanjutnya manakala beberapa individu lain yang telah mengalami kecederaan dalam kemalangan itu telah dikejarkan ke Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang untuk rawatan lanjut,” katanya lagi.
Tegasnya, polis sedang meneruskan siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: