KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat yang berakhir semalam langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat di saat mereka berdepan dengan kegetiran krisis ekonomi dan makanan sekarang.
Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohd Nasir Abdullah berkata, ini kerana setiap kali Parlimen bersidang, rakyat dihidangkan dengan teriakan, pekikan, sindiran, tuduhan dan pelbagai lagi di kalangan anggota sidang.
“Baik di blok kerajaan mahu pun pembangkang, langsung tidak membantu atau dilihat membantu membincangkan kaedah atau mencari jalan penyelesaian bagi menangani krisis yang dihadapi rakyat di peringkat akar umbi.
“Persoalannya, sampai bila rakyat perlu membiarkan keadaan ini berterusan? Keadaan ini jelas memperlihatkan imuniti yang diberikan oleh ahli Parlimen bagi setiap tutur kata dalam dewan telah disalahgunakan.
“Sebenarnya imuniti ini hanya memberi satu blank cheque kepada YB-YB untuk menunjukkan sikap biadap dan kebudak-kebudakan dalam berhujah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sidang khas Parlimen itu yang bersidang dari 11 hingga 14 dan 18 hingga 19 September lalu, menyaksikan blok pembangkang keluar dewan kerana tidak berpuas hati dengan penjelasan Perdana Menteri berhubung keputusan DNAA Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Sepanjang persidangan enam hari juga pembangkang mahu pun kerajaan tidak menyentuh kegusaran rakyat berhubung kos sara hidup yang semakin tinggi, ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran dan sebagainya.
Jelas Mohd Nasir yang juga seorang peguam, adakah sikap sebegini diperlukan oleh rakyat?
“Saya yakin dan percaya tidak. Bahkan, rakyat semakin muak dengan sikap ahli-ahli Parlimen yang menjadi bahan lawak oleh netizen dalam media sosial.
“Sudah sampai masanya imuniti ahli-ahli Parlimen dalam dewan dihapuskan agar setiap daripada mereka dipertanggungjawabkan ke atas setiap patah perkataan yang dituturkan.
“Sebarang tuduhan wajib mempunyai asas dan pihak yang menuduh mesti bersedia untuk mengemukakan bukti bagi setiap tuduhan yang dilemparkan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan kepada semua Ahli Parlimen bahawa di dalam Dewan Rakyat juga ada malaikat yang mencatatkan apa dituturkan oleh mereka.
“Malaikat tidak peduli sama ada kamu seorang Perdana Menteri yang setiap hari mengadakan tazkirah atau kamu seorang yang mengaku ulamak atau pun kamu seorang yang mempunyai PhD bertimbun daripada universiti di pelusuk dunia sekali pun.
“Cukup-cukuplah. Rakyat peringkat bawahan masih ramai yang kelaparan, hilang pekerjaan, kais pagi makan pagi dan kais petang belum tentu dapat dimakan pada petangnya,” katanya. – MalaysiaGazette