KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-78 (UNGA 78) di New York, Amerika Syarikat bermula hari ini hingga 24 September ini.
Perdana Menteri diiringi isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menter Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Dalam Negeri, Senator Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dan pegawai kanan kerajaan.
Menurut kenyataan dari Wisma Putra, ini merupakan penglibatan pertama Anwar ke Perhimpunan Agung PBB selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November 2022.
Perdana Menteri dijadual menyampaikan kenyataan negara ketika sesi debat umum 22 September ini.
Tema bagi sesi debat umum itu ialah “Rebuilding trust and reigniting global solidarity: Accelerating action on the 2030 Agenda and its Sustainable Development Goals (SDG) towards peace, prosperity, progress and sustainability for all”.
Tema itu memberi tumpuan dalam meningkatkan semula momentum dan mempercepatkan tindakan ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan.
Ia juga memberi penekanan kepada negara anggota untuk mengambil tindakan bersepadu bagi mencapai keamanan dan keselamatan, di samping memberi insentif terhadap kepimpinan yang berani dan tegas dalam memerangi perubahan iklim serta meningkatkan usaha untuk memastikan hak asasi manusia dipenuhi oleh semua.
Selari dengan tema UNGA 78, Perdana Menteri dijangka mengetengahkan isu berkaitan perubahan iklim dan usaha mencapai Agenda 2030 dalam Kenyataan Malaysia.
Anwar juga dijangka mengetengahkan pendirian Malaysia terhadap cabaran dan konflik global seperti situasi di Palestin serta Myanmar.
Ketika di New York, Anwar dijadual mengadakan satu Mesyuarat Meja Bulat dengan syarikat Fortune 500, sesi bersama Invest Malaysia New York, forum bersama ahli Council on Foreign Relations (CFR) dan temubual dengan media antarabangsa seperti Bloomberg dan CNN.
Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat di UNGA 78 untuk membincangkan isu berkepentingan bersama.
Pertemuan tersebut akan mengeratkan hubungan dua hala yang sedia terjalin dengan negara berkenaan serta mengukuhkan persefahaman dalam isu serantau dan antarabangsa.
Anwar juga akan menghoskan satu majlis makan malam bagi menyantuni rakyat Malaysia di New York.
Selain itu, Dr. Zambry pula dijangka menghadiri beberapa mesyuarat dan acara yang melibatkan pelbagai kumpulan antarabangsa dan serantau berkenaan isu berkaitan di sela-sela UNGA 78.
Menteri Luar Negeri itu turut dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawat bagi membincangkan isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Menteri Kabinet yang lain juga dijadual terlibat dalam pelbagai program berasingan sepanjang UNGA 78.
Penglibatan aktif Malaysia ketika sesi ke-78 Perhimpunan Agung PBB menggariskan komitmen Malaysia dalam mengetengahkan isu penting kepada negara di platform pelbagai hala terutama di PBB. – MalaysiaGazette
PMX sangat terkenal di US kerana pernah berada disana suatu ketika dahulu. Beliau juga punyai ramai kawan2 nama besar disana. Mesti wartawan akan bertanya hal2 berkenaan lbgtq, yang mereka kata hak asasi dibarat.
Barat juga dikatakan sedang menekan keras negara2 Afrika untuk menerima lbgtq.
Menarik untuk diikuti. Peace.