Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Tindakan Perikatan Nasional (PN) mewujudkan State-Government 4 (SG4) melibatkan empat negeri  dimenanginya membuktikan mereka bersikap anti-federalisme dan tidak memahami struktur asas pentadbiran negara yang digagaskan Perlembagaan Persekutuan.

Perbuatan mengasingkan Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah daripada Kerajaan Perpaduan adalah suatu yang mengelirukan dan tidak bertanggungjawab, selain memberikan gambaran kepada pelabur bahawa politik nasional masih goyah.

Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, tindakan itu juga menunjukkan PN hanya Islam pada slogan, tetapi mengamalkan politik kebencian sepertimana masyarakat jahiliah.

“Kerajaan Perpaduan bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperjuangkan nilai penyatuan tidak kira agenda kepartian walaupun individu seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Hadi Awang terus menyemai kebencian terhadap pentadbirannya.

“Pentadbiran Anwar juga tidak pernah meminggirkan mana-mana negeri pentadbiran PN, di mana agensi kerajaan Persekutuan masih berusaha membawa masuk pelaburan bernilai tinggi ke negeri pembangkang.

“Contohnya, pertengahan pertama 2023, Kerajaan Perpaduan telah membawa masuk pelaburan diluluskan RM14.6 bilion ke Kedah iaitu 11 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diterima oleh negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelas beliau, umum tahu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu antara negeri paling miskin dan mundur di Semenanjung Malaysia.

Justeru, katanya, negeri berkenaan memerlukan koordinasi yang lebih baik dengan kerajaan persekutuan supaya pelan pembangunan dan peruntukan dapat dilaksanakan lebih cemerlang untuk memastikan pertumbuhan ekonominya tidak terabai.

Kata Faiz, apatah lagi pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 telah membuktikan kerajaan hari ini tidak mendiskriminasi mana-mana negeri.

“Perkara ini juga diakui Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Malah, tidak berasas untuk menganggap mana-mana individu termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh membawa masuk pelaburan kerana ia masih perlu dikoordinasi dan diluluskan oleh agensi persekutuan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“PN seharusnya fokus kepada urusan pentadbiran, bukannya politiking yang memanjang. Jangan jadikan rakyat sebagai mangsa politik bercelaru PN,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.