Pemandangan TRX pada waktu malam.

KUALA LUMPUR – Hab gaya hidup The Exchange TRX, yang terletak di daerah kewangan antarabangsa baharu Kuala Lumpur akan dibuka secara rasmi pada 29 November 2023.

Dengan kadar penghunian pada 95 peratus ketika ini yang mewakili kira-kira 400 kedai di kawasan seluas 1.3 juta kaki persegi para pengunjung bakal merasai pengalaman membeli belah, menjamu selera, liburan dan hiburan yang serba dinamik.

Pengarah projek The Exchange TRX dan ketua runcit Lendlease Malaysia, Mitch Wilson berkata, kadar penyewaan yang kukuh itu membuktikan keyakinan padu oleh jenama utama antarabangsa dan tempatan terhadap konsep runcit baharu tersebut yang diperkenalkan Lendlease kepada pasaran bersama dengan The Exchange TRX.

“Sebagai komponen sosial daerah kewangan antarabangsa (Tun Razak Exchange), kami telah mewujudkan ruang komunal dalam The Exchange TRX yang diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada ekonomi yang dipacu idea, yang akan dilengkapkan dengan tarikan TRX City Park, taman awam atas bumbung terbesar di Kuala Lumpur buat masa ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, The Exchange TRX akan menampilkan landskap runcit mewah yang akan disertai peruncit utama antarabangsa termasuk Gentle Monster, jenama cermin mata canggih dari Korea Selatan dan Seibu, satu daripada gedung membeli belah terbesar Jepun.

The Exchange TRX merupakan sebahagian daripada pembangunan Tun Razak Exchange, di kawasan seluas 6.9 hektar yang juga termasuk kawasan kediaman, pejabat butik dan hotel.

Pembangunan itu merupakan usaha sama 60:40 antara Lendlease dari Australia dan TRX City Sdn Bhd, pemaju induk pusat kewangan antarabangsa. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast