ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

PETALING JAYA – Empat anggota penguat kuasa antara enam suspek lelaki telah ditahan polis selepas disyaki bersubahat dengan sindiket mencuri kabel telekomunikasi milik Telekom Malaysia (TM) di sini baru-baru ini.

Sumber memberitahu, penjawat awam berkenaan bertindak sebagai tonto ketika ahli sindiket berkenaan mencuri kabel telekomunikasi tersebut.

“Laporan diterima daripada petugas TM selepas menerima aduan daripada pelanggan berkenaan kerosakan telefon dan data.

“Pengadu yang membuat pemeriksaan di sekitar perumahan Taman Kanagapuram terkejut apabila mendapati dua batang kabel utama bawah tanah telah dipotong dipercayai dicuri,” katanya.

Bertindak atas maklumat empat anggota penguatkuasa terbabit ditahan pihak polis dalam serbuan yang dilakukan.

Difahamkan, hasil soal siasat polis berjaya membawa kepada tangkapan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kecurian kabel telekomunikasi itu di sekitar Shah Alam dan Petaling Jaya.

“Hasil daripada tangkapan itu, serbuan turut berjaya merampas pelbagai barang kes curi termasuk beberapa buah telefon bimbit, kenderaan pacuan empat roda serta kenderaan milik agensi penguatkuasaan terbabit yang disyaki digunakan semasa kejadian itu,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua suspek.

“Kita mengesahkan ada tangkapan ini dan sedang lanjut sedang dijalankan serta kes masih belum selesai lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini. – MalaysiaGazette