KUALA SELANGOR – Pernah melalui fasa kegelapan dalam hidup apabila terjebak dengan dadah selama empat tahun pada usia muda, Mohd Radzi Abu Kassim tidak pernah menjadikannya sebagai penghalang untuk berjaya.

Sebaliknya, anak kelahiran Sekinchan yang kini berusia 39 tahun itu terus bangkit meneruskan perniagaan menjual kambing perap.

Katanya, masa depan bekas penagih dadah bergantung kepada semangat untuk berubah dalam diri masing-masing.

Seperti dirinya, kemahiran memasak daripada pengalaman bekerja di beberapa buah hotel dijadikan peluang emas untuk mencorak kehidupannya pada hari ini.

“Kepada yang pernah terlibat dengan dadah teruskan kehidupan buat ikut kemahiran, pilih kemahiran yang boleh dijadikan sumber pendapatan.

“Kebanyakan bekas penagih dadah banyak yang berkemahiran cuma mereka tidak jumpa jalan. Saya dulu ada sambung belajar bidang kulinari,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Pantai Sungai Kajang, Tanjong Karang, dekat sini..

Berkongsi perjalanan hidupnya sebelum ini, Mohd Radzi mula terjebak dengan dadah pada usia 21 tahun semasa bekerja di industri perhotelan.

Beliau pada mulanya menyangka benda terlarang tersebut dapat membantunya lebih bertenaga ketika bekerja, namun sebaliknya yang berlaku.

Bukan hanya dirinya, kesihatan, kerjaya dan perkahwinannya juga menjadi mangsa dadah apabila rumah tangga pertama yang dibina gagal dipertahankan.

“Pada satu hari pada 2018 saya jatuh pengsan ketika berniaga di bazar Ramadan, pada masa itulah pihak hospital dapat tahu saya positif dadah.

“Apa yang berlaku ini saya anggap sebagai asbab bagi saya untuk berubah menjadi individu lebih baik terutama kepada keluarga,” katanya.

Selepas mengikuti program pemulihan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), beliau akhirnya menjadi ‘pejuang’ yang berjaya pulih dan bebas daripada dadah yang sebelum ini merosakkan kehidupannya.

Mohd Radzi beriltizam untuk mengajak lebih ramai yang pernah terjebak dengan dadah dan kini bebas untuk memajukan diri masing-masing dalam apa juga bidang yang diceburi berasaskan kemahiran.

Baginya, tiada yang mustahil sekiranya seseorang itu mempunyai niat baik dan semangat yang tinggi.

“Saya ada juga jumpa kenalan yang pernah terlibat dengan dadah, saya galakkan mereka, nasihatkan mereka cari kerja sekalipun hanya jaga kebun. Alhamdulillah itu membantu,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast