ALOR GAJAH – Di saat ramai yang mengeluh mengenai kenaikan harga barang khususnya beras, telur dan ayam, masih ada individu berhati mulia berniaga barangan itu yang boleh dianggap bersedekah.
Itulah dibuktikan seorang pengusaha kantin Sekolah Pulau Sebang, di sini, yang mengakui niatnya adalah mahu memastikan murid sekolah mendapat makanan sihat berbanding membeli makanan ringan.
Malah, dia yang enggan dikenali mengakui masih memperolehi keuntungan sebanyak RM1 apabila menjual sepinggan nasi lemak ayam goreng beserta timun, sambal dan telur dadar pada harga RM2.
“Kos sepiring menu itu hanya RM1 setelah dikira modal semua jadi bila dijual RM2 itu, saya masih lagi ada untung RM1 jadi cukuplah, nak untung banyak mana lagi.
“Sebagai pengusaha kantin, kita kena pandai dan kreatif menyediakan menu supaya murid-murid pun tak bosan makan menu yang sama sahaja setiap hari,” katanya menerusi ruang komen di Facebook yang tular.
Wanita itu menjawab soalan netizen yang bertanyakan adakah dia masih memperolehi keuntungan menjual pada harga sedemikian ketika harga barangan khususnya beras tempatan bersubsidi yang sukar didapati ketika ini.
Malah katanya, terdapat juga segelintir peniaga mendakwa nilai jualan untuk menu seperti itu tidak mendatangkan sebarang keuntungan sebelum dijawab pengusaha kantin terbabit.
“Macam saya, saya suka anak-anak dapat makan sampai puas dan kenyang (makanan berkhasiat) daripada beli benda-benda mengarut (makanan ringan),” katanya.
Sementara itu, pemerhatian di ruang komen mendapati, rata-rata memuji tindakan pengusaha kantin terbabit yang ikhlas dalam perniagaan.
Selain mendoakannya terus maju pada masa hadapan, mereka berharap ia dapat menjadi contoh kepada peniaga lain. – MalaysiaGazette
tengok pada gamb@r memang murah tu . tempat aku pun 3 ringgit dah rasa murah dah . nasi lemak sambal kari ayam .