SHAH ALAM – Seorang wanita yang didakwa merancang berama adik lelakinya untuk membunuh suami beliau yang buta bagi mendapatkan harta lebih RM2 juta didapati bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Hakim Hasbullah Adam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap G.S Angela Dewi, 45 dan adiknya, G.S.Vijaya, 42 atas pertuduhan membunuh suaminya, tiga tahun lalu.

Hasbullah membuat keputusan itu selepas mengambil kira kenyataan daripada salah seorang anak mangsa yang kini berusia 18 tahun.

“Setelah mendengar, meneliti dan mengambil kira bukti hujahan oleh peguam bela dan hujahan pihak pendakwaan, serta mengambil kira kenyataan impak mangsa daripada anak mangsa.

“Mahkamah ini tidak mendapati apa-apa keadaan yang mewajarkan pelaksanaan budi bicara untuk mengenakan hukuman penjara mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Oleh yang demikian, mahkamah tiada pilihan lain, melainkan untuk memerintahkan tertuduh satu (Angela) dan tertuduh dua (Vijaya) dikenakan hukuman gantung leher sampai mati menurut Seksyen 232 Kanun Keseksaan Tatacara Jenayah bagi kesalahan membunuh seorang bernama R. Devarajoo di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” kata Hasbullah ketika membuat penghakiman, di Mahkamah Tinggi Jenayah 2, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Kajang tidak merekodkan sebarang pengakuan daripada kedua-dua tertuduh atas pertuduhan membunuh suaminya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) buta, pada 1 Oktober 2020.

Mengikut pertuduhan, Angela, seorang pengusaha kedai makan dan adiknya Vijaya selaku pembantu kedai makan, secara bersama dengan sengaja telah membunuh Devarajoo, 59, di sebuah rumah, Lorong Jati 1, Rumah Murah PKNS Blok A, Kampung Baru Sungai Chua, di sini, antara pukul 12 tengah hari hingga 1 petang pada 1 Oktober 2020.

Hasbullah berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan suatu kes yang melampaui keraguan munasabah dan pihak pembelaan pula gagal membuktikan apa-apa keraguan yang munasabah atas kes tersebut.

“Ia selaras dengan Seksyen 182(a)(2) Tatacara Jenayah. Mahkamah juga memutuskan pada 25 Mei 2023 bahawa pendakwa raya berjaya menimbulkan prima facie dalam kes ini.

“Adalah diputuskan bahawa tertuduh satu dan tertuduh dua disabitkan dengan kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

“Bagi kesalahan membunuh, memperuntukkan hukuman setelah mengambil kita pindaan yang dibuat dengan berkuatkuasanya Akta Pemansuhan Hukuman Mandatori 2023 iaitu Akta 846 pada 4 Julai 2023 yang memperuntukkan hukuman seperti berikut.

“Sesiapa sahaja yang mengaku membunuh, hendaklah dihukum dengan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun.

“Sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali,” kata Hasbullah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Selangor, Ainul Mardiyah Mohd Ali berkata, hukuman gantung sampai mati dijatuhkan kepada kedua-dua tertuduh kerana perbuatan zalim itu melibatkan individu yang mempunyai tali persaudaraan.

“Ini suatu pengkhianatan terbesar terhadap si mati, semestinya si mangsa mati terkejut dan dalam keadaan kecewa kerana dibunuh oleh orang-orang yang paling tidak disangka, paling dipercayai dan paling disayangi oleh beliau dalam keadaan kejam dan zalim, iaitu menggunakan tukul serta mengalami kecederaan serius di kepala,” katanya.

Sementara itu, peguam Anis Salihah Abdul Malek memohon mahkamah menggunakan Sekysen 34 Akta Pemansuhan Hukuman Mandatori 2023 dan memohon untuk diberikan hukuman pemenjaraan minimum sahaja kepada kedua-dua tertuduh.

“Ini merupakan kesalahan pertama tanpa sebarang rekod lampau. Kedua-kedua tertuduh dalam lingkungan 45 sehingga 48 tahun, namun mereka mempunyai sakit.

“Sebelum ini ada surat permohonan untuk tertuduh mendapatkan rawatan di Hospital Serdang untuk rawatan jantung dan laporan perubatan di mana pihak Hospital Kajang rawatan perubatan yang diberikan kepada tertuduh pertama (Angela).

“Sebelum ini pihak kami juga ada memohon tertuduh diberikan rawatan kerana tertuduh pernah mengalami kemalangan melibatkan kecederaan di tulang belakang dan ia masih dirasai hingga sekarang,” katanya.

Anis berkata, hukuman mati sampai mati boleh memberi kesan trauma kepada anak-anak mangsa, khususnya hukuman tersebut dijatuhkan kepada ibu dan bapa saudara mereka.

“Oleh itu saya memohon hukuman pemenjaraan minimum berbanding dan memberi peluang kepada kematian semulajadi serta memberi peluang kepada mereka untuk menghabiskan sisa-sisa hidup di penjara dengan bersembahyang sehingga ajal bertemu,” katanya. – MalaysiaGazette