Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said bergambar kenangan bersama barisan pelakon-pelakon pada sidang media Teater Muzikal Lantai. Pinke di Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 21 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Karya agung Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said Lantai T. Pinkie akan dipentaskan semula Oktober depan selepas kali terakhir menemui khalayak pada 17 tahun lalu.

Naskah unggul dalam sejarah teater tanah air itu menampilkan penyanyi dan pelakon Zera Hariz sebagai watak utama T. Pinkie, seorang penari cantik yang menjadi rebutan pengunjung di Bunga Joget Moden era 50-an.

Samad Said yang juga dikenali sebagai Pak Samad walaupun lupa naskah itu telah dipentaskan sejak 1997 sebanyak lima kali namun gembira kerana karya yang ditulis pada 1996 itu kini boleh dihayati oleh generasi baharu.

“Gembira tetapi saya tidak senang hasil kerana ini untuk orang lain juga sebab sebuah skrip mengabung, bukan orang yang menulis itu sahaja, orang yang menjayakan itu lebih berhak untuk berasa gembira.

“Saya tidak tahu sama ada orang ingat judulnya sahajakah atau lebih daripada lain-lain tetapi barangkali untuk anak muda yang baru berkenalan dengan drama (lebih) memberi kesan.

“Saya fikir banyak skrip yang telah dipentaskan tetapi tidak diberikan nyawa lanjut pentas satu kali. Mesti ada orang tertentu yang memperhatikan beberapa drama yang harus diberi usia yang lebih lanjut,” katanya yang ditemui selepas sidang media di sini hari ini.

Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said ketika hadir pada sidang media Teater Muzikal Lantai. Pinke di Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 21 SEPTEMBER 2023.

Lantai T. Pinkie yang dipentaskan secara muzikal untuk kali keenam masih mengunakan penerbit dan pengarah yang sama iaitu Siti Rohaya Atan dan Dr. Rosminah Mohd. Tahir.

Menurut Rosminah, beliau tidak bimbang sekiranya ada pihak yang membandingkan Zera Hariz dengan tiga lagi watak T. Pinkie sebelum ini iaitu Tiara Jacquelina (1997), Nasha Aziz (2000) dan terakhir Vanidah Imran (2006).

“Perbandingan itu saya alu-alukan kerana ia akan menampakkan bahawa masyarakat kita mengikuti sejarah T. Pinkie dan mencintai naskah itu dan menyokong persembahan. Silakan nak membandingkan, saya tak ada masalah.

“Namun bagi saya setiap pelakon mempunyai identiti sendiri selain bakat dan latihan serta tunjuk ajar, juga semangat untuk menghayati watak.

“Kalau ada tersama itu barangkali muziknya telah ditentukan. Kalau rasa dia seperti itu, mungkin dia mengidolakan orang seperti itu, bagaimanapun setiap individu ada keasliannya,” jelas beliau.

Pengarah, Dr Rosminah Mohd Tahir bercakap pada sidang media Teater Muzikal Lantai. Pinke di Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 21 SEPTEMBER 2023.

Muzikal Lantai T. Pinkie akan menemui khalayak pada 6, 7 dan 8 Oktober ini di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka dengan bayaran RM35, RM56 dan RM159.

Turut berlakon Faysal Saad (Muhairi muda) Nabila Huda (Nyai Sunarti), Carolyne Kamba (Puteh Su), Linda Nanuwil (Siti Udaya) Datuk Jalaluddin Hassan (Jongkiding Jaroi), Datuk Tamimi Siregar (Muhairi tua), Zaifri Husin (S. Diman), Serra Kamal (Musalmah Jiing) dan Ewan Fauzi (Loiran Sindhu).

Pementasan itu masih mengunakan muzik yang dicipta oleh Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah.

Lantai T.Pinkie adalah kisah hidup lara perempuan penari joget di Singapura pada zaman 50-an selepas Perang Dunia Kedua.

Kehidupan mereka penuh lara dengan melayani lelaki yang berkunjung ke kelab tersebut.

T. Pinkie atau nama sebenarnya Tengku Seindahkuno ialah antara wanita paling cantik dan terkenal di Bunga Joget Moden dan menjadi buruan lelaki termasuklah pemain akordion, Muhairi Tirus.

T.Pinkie, Nyai Sunarti, Siti Udaya, Musalmah Jiing, Puteh Su Abdullah, Jongkidin Jaroi, Muhai dan S.Diman ialah watak-watak yang mewakili zaman tersebut.

Mereka bercakap tentang cinta, kasih sayang dan kehidupan tetapi tiada yang dapat dilakukan pada zaman yang penuh dengan linangan air mata dan derita seperti kata T. Pinkie ‘Dunia ibarat lantai, lantai ini adalah tempat kasut-kasut bercerita’.-MalaysiaGazette