Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi bersama Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (kanan) hadir pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 04 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesahkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan mengadakan lawatan rasmi ke projek kapal tempur pesisir (LCS), Oktober depan.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, dalam lawatan itu PAC akan mendapatkan pencerahan mengenai kemajuan projek berkenaan.

“Lawatan ini bertujuan untuk memberi pencerahan kepada Tan Sri Johari Abdul, berhubung laporan Kemajuan Projek Pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua – Littoral Combatant Ship (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia di bawah Kementerian Pertahanan bagi Tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mesyuarat Ketiga,” kata Mas Ermieyati dalam kenyataan, hari inio.

Dengan lawatan itu, PAC berharap Johari mempertimbangkan supaya laporan berhubung kemajuan projek berkenaan dapat dibahaskan di Dewan Rakyat selepas ia dibentangkan.

Sebelum ini, PAC berkata, pihaknya akan membentangkan dua laporan berhubung LCS yang dijadualkan pada Oktober depan.

Mas Ermieyati berkata, pembentangan itu dilakukan selepas pihaknya selesai menjalani prosiding yang akan dihadiri saksi-saksi daripada Kementerian Pertahanan membabitkan kemajuan projek LCS sebelum ini.

Dalam pada itu, PAC berkata, pihaknya telah selesai mengadakan prosiding keempat bagi siasatan isu pengurusan Covid-19.

Prosiding itu, kata Mas Ermieyati, merangkumi keterangan antaranya Ahli Parlimen Ayer Itam, Datuk Seri Wee Ka Siong.

“PAC berpuas hati dengan kerjasama semua saksi dan akan memasukkan keterangan serta penjelasan kesemua saksi bagi prosiding ini dalam Laporan PAC berhubung isu ini untuk dibentangkan pada Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat,” katanya.

Turut dipanggil adalah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Seri Dr Cheh Chew Min dan Setiausaha Bahagian (Perolehan dan Penswastaan) KKM yang mewakili Datuk Seri Norazman Ayob, Mohd Fauzee Abd Majid, dan bekas Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad, Datuk  Farshila Emran.

Tambahnya, prosiding itu adalah berkaitan Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Personal Protective Equipment (PPE).

Mas Ermieyati menambah, PAC akan membentangkan empat laporan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Selain laporan LCS dan laporan Covid-19, dua lagi adalah Laporan Terimaan dan Bayaran Obligasi Sosial Perjanjian Konsesi Pengurusan Industri Padi dan Beras Negara di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (ditetapkan tarikh pembentangan pada 11 Oktober 2023) dan Laporan Menteri Kewangan (Diperbadankan) – Felcra Berhad.

Mengenai prosiding Felcra Berhad, Mas Ermiyati berkata, pihaknya telah memanggil dua bekas Pengerusinya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Bung Mokhtar Radin pada 18 September lalu.

“Namun, PAC akan mengadakan prosiding seterusnya bagi isu ini bagi mendapatkan keterangan dan penjelasan daripada Datuk Dr. Mohmad Isa Hussain, mantan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) dan syarikat WZR Group iaitu kontraktor Menara Semarak 20 milik Felcra Berhad sebelum memuktamadkan laporan mengenai perkara ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette