MELAKA – Dendam lama enam sahabat kerana ditangkap polis selepas keluarga R. Darvnrajh, 24 membuat laporan mereka bermain mercun dan membuat bising di kawasan perumahan tahun lalu didakwa menjadi punca pembunuhan kejam pemuda itu.
Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, siasatan mendapati, kejadian itu berlaku sewaktu perayaan Deepavali pada 24 Oktober tahun lalu apabila semua enam suspek yang juga rakannya berumur 18 hingga 26 tahun membuat bising berhampiran rumah mangsa.
“Waktu itu, keluarga mangsa telah menegur termasuk membuat laporan polis menyebabkan kesemua enam rakannya itu ditahan polis dan sejak itu, mangsa didakwa berlagak dengan rakan-rakannya.
“Keadan itu menyebabkan semua suspek berdendam sehingga menyebabkan mangsa dibunuh sebelum mayatnya ditemui berulat dan hampir reput dengan 18 kesan tikaman di tepi jalan berhampiran kebun kelapa sawit, Ladang Gadek, Kemuning, di sini, Sabtu lalu ,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut Zainol berkata, mangsa dipercayai dibunuh semua enam suspek kira-kira 5.30 pagi 10 September lalu selepas terserempak dengan Darvnrajh di Taman Mutiara, Tampin, Negeri Sembilan.
“Sebelum itu, semua enam suspek keluar bersama dari rumah untuk minum arak di Taman Indah menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga milik ayah kepada seorang suspek.
“Semasa hendak pulang, suspek yang sedang mabuk telah terserempak dengan mangsa di Taman Mutiara dan mengajaknya untuk minum arak sebelum membawa mangsa masuk ke dalam kereta,” katanya.
Tambahnya, ketika berada di dalam kereta mereka bertindak membelasah dan memukul mangsa dengan tangan dan membawanya ke kawasan Kemuning, Alor Gajah.
“Mangsa kemudian dipaksa keluar dari kereta sebelum suspek mengambil parang panjang yang diletakkan di dalam but kereta dan terus menetak serta menikam mangsa.
“Suspek kemudian menyimpan semula parang meninggalkan mangsa di kawasan itu sebelum pulang ke rumah,” katanya. – MalaysiaGazette