KUALA LUMPUR – Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) Kesembilan antara Malaysia dan Iraq yang telah lama tertangguh akan bersidang semula dalam masa terdekat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dan rakan sejawatannya dari Iraq, Mohammed Shia’ Al-Sudani mencapai persetujuan tentang perkara itu dalam pertemuan di New York, Amerika Syarikat (AS), hari ini.
“Ia akan menjadi platform dalam berbincang dan merangka skop kerjasama yang lebih mendalam antara Malaysia dan Iraq dalam pelbagai sektor.
“Terutamanya ekonomi, pendidikan, hubungan udara dan pelancongan, selain meneroka peluang kerjasama baharu,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Perdana Menteri berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 mulai 20 hingga 24 September.
Selain itu, Anwar turut memaklumkan Mohammed Shia’ mengenai keputusan kerajaan Malaysia untuk membuka semula Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad selepas lebih 20 tahun ditutup.
“Kami juga berkesempatan bertukar-tukar pandangan terkait pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama,” jelasnya. – MalaysiaGazette