Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada Forum Minggu Negarawan Perpaduan di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 13 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan larangan menyentuh isu 3R (agama, raja, kaum) sebagai cara untuk menutup mulut rakyat.

Katanya, sebelum mengambi alih pentadbiran kerajaan, Perdana Menteri Datuk, Seri Anwar Ibrahim melaung-laungkan reformasi, termasuk memperjuangkan kebebasan media dan hak bersuara.

“Dahulu semasa PMX berada di luar Kerajaan, laungan reformasi dijerit-jerit. Sekarang kebebasan bersuara terhad kepada menyokong Kerajaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Namun Dr. Mahathir berkata, perkara yang berlaku pada masa ini adalah sebaliknya.

“Di masa ini, kenyataan yang benar dari segi sejarah dianggap oleh media cetak sebagai hasutan,” tambah beliau.

Semalam MalaysiaKini melaporkan, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk  Lokman Noor Adam menyifatkan reformasi tidak berjaya kerana Dr. Mahathir tidak didakwa di mahkamah.

“Kalau tanya saya Reformasi berjaya tak? Tak berjaya. Sebab kita nak hapuskan korupsi, kronisme dan nepotisme…tapi sampai sekarang (Mahathir tak didakwa di mahkamah).

“Untuk mengukur kejayaan Reformasi sekurang-kurangnya kena heret Mahathir ke mahkamah,” kata Lokman.

Beliau berkata demikian sebagai panel sempena ulang tahun ke-25 gerakan Reformasi yang berlangsung semalam -MalaysiaGazette